BARCELONA – Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman memuji persembahan cemerlang anak-anak buahnya selepas berjaya mencatat kemenangan 4-2 ke atas Real Sociedad dalam aksi La Liga di Stadium Camp Nou awal pagi semalam.
Kemenangan itu membuktikan The Catalan masih mampu berada dalam kelas tersendiri meskipun tanpa Lionel Messi yang berhijrah menyertai Paris Saint-Germain memandangkan Sociedad merupakan antara pasukan pencabar kejuaraan La Liga musim ini.
Sebaliknya, Koeman, 58, menyifatkan kekuatan mental barisan pemainnya adalah kunci utama kejayaan meraih tiga mata itu selepas ramai memandang rendah kemampuan mereka setelah kehilangan magis Messi.
“Memphis (Depay) bermain cukup cemerlang dan berjaya mencipta umpanan jaringan seperti yang biasa dilakukannya.
“Martin Braithwaite juga adalah salah satu contoh terbaik kerana sentiasa bekerja keras untuk pasukan. Hasilnya, dia berjaya meledak dua gol dalam perlawanan ini.
“Saya sangat berbangga dengan semangat dan kesungguhan semua pemain terutama kapten-kapten dalam pasukan ini. Mereka menjadi contoh buat pemain-pemain generasi muda Barcelona,” katanya.
Baki dua lagi gol Barcelona berjaya dijaringkan oleh Gerard Pique dan Sergi Roberto yang mana kedua-duanya kini memainkan peranan antara kapten dalam pasukan itu.
Dalam masa sama, Koeman berharap beliau dapat menandatangani khidmat salah seorang penyerang Arsenal antara Pierre-Emerick Aubameyang atau Alexandre Lacazette selepas menawarkan Philippe Coutinho sebagai pertukaran kepada The Gunners. – AGENSI