PETALING JAYA – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Alif Syukri sekali lagi mengundang kecaman terhadap dirinya sendiri apabila berkongsi satu muat naik borang mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-9 Malaysia.
“Kalau ada rezeki tak ke mana, doakan semuanya dipermudahkan.”
Demikian kapsyen yang dimuat naik bersama borang yang dikongsi pemilik nama lengkap, Aliff Syukri Kamarzaman itu.
Bukan hanya dibantah rata-rata peminat yang memperlekeh, hasrat pelantun lagu Abang Nak tegur itu turut ditentang ibu kandungnya sendiri, Rozita Ibrahim.
“Kri (nama timangan buat Alif Syukri) cari pasal kena kecam. Mak orang pertama yang akan memberontak,” tulis Rozita dalam ruangan komen.
Dalam pada itu, rakan seperjuangannya, Wak Doyok turut meninggalkan komen yang mencuit hati berbunyi: “Dukung. Datuk nak urus pembantu rumah pun jerit, lagilah nak urus 30 juta orang rakyat Malaysia.”
Dalam ruangan komen turut kelihatan komen lucu yang ditinggalkan netizen mengusik hasrat yang diluahkan jutawan kosmetik berkenaan.
“Saya sokong Datuk. Harap Datuk bagi 1 juta setiap isi rumah,” ujar seorang netizen.
Seorang lagi meninggalkan komen: “Ini kalau jadi Perdana Menteri, mahu hari-hari buat TikTok, buat perutusan.” – K! ONLINE