GEORGE TOWN – Seramai 25 lelaki di daerah Timur Laut di sini dilaporkan menjadi mangsa pemerasan sindiket panggilan video lucah dan langganan perkhidmatan seks di platform media sosial.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kes yang direkodkan sepanjang tahun ini sehingga semalam itu membabitkan kerugian yang dialami mangsa kira-kira RM150,000.
Menurutnya, lelaki berusia 17 hingga 50 tahun itu merupakan mangsa yang terlibat dalam pemerasan menerusi media sosial seperti Facebook, Wechat, Michat, Line, Tinder dan lain-lain.
“Modus operandi sindiket adalah dengan berkenalan dengan mangsa menerusi aplikasi tersebut sebelum menawarkan langganan seks dan membuat panggilan video lucah.
“Panggilan video tersebut akan dirakam dan kemudiannya suspek akan mengugut mangsa untuk membuat sejumlah bayaran sekiranya tidak mahu video tersebut disebarkan kepada kenalan mangsa ataupun ditularkan di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Soffian, suspek juga akan memuat turun gambar mangsa di media sosial dan mengugut untuk menyebarkan gambar-gambar tersebut dengan meletakan kepsyen jelik serta boleh menjatuhkan maruah mangsa. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929