fbpx

2/3 mahu terus bekerja dari rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramai memilih bekerja dari rumah kerana bimbangkan keselamatan orang tersayang. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Lebih daripada dua per tiga, atau 69 peratus daripada responden di Malaysia dalam kaji selidik 1H Workmonitor 2021 oleh firma sumber manusia, Randstad mahu terus bekerja dari kediaman masing-masing sehinggalah vaksin Covid-19 telah diberikan secara meluas.

Ia merupakan peratusan ter­tinggi di rantau ini, di hadapan Singapura, Hong Kong dan China yang masing-masing pada paras 67 peratus, 48 peratus dan 45 peratus.

Kajian tersebut turut me­nemui bahawa 73 peratus res­ponden di negara ini berasa tidak selamat di tempat kerja sehinggalah rakan sekerja mereka divaksin.

Daripada golongan yang terus bekerja di tempat kerja masing-masing sepanjang pandemik, 55 peratus merasakan mereka sentiasa terdedah kepada jangkitan, manakala 59 peratus melihat produktiviti mereka terjejas ke­rana tertekan akan kemungkinan dijangkiti sehingga menjejaskan keselamatan orang tersayang.

Ketua Operasi Randstad Malaysia, Fahad Naeem dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, bukanlah sesuatu di luar jangkaan apabila pekerja mengutamakan kesihatan dan keselamatan ketika pandemik melanda.

Jelasnya, dengan berbuat demikian, pekerja turut mengharap­kan majikan mengambil langkah perlu untuk melindungi mereka.

“Kita tahu bahawa ramai pekerja mendapati diri mereka lebih produktif dan kurang tertekan apabila bekerja dari rumah, jadi terdapat peningkatan jangkaan yang jelas dalam kalangan pekerja untuk pilihan kerja secara hibrid atau jarak jauh.

“Penting bagi pemimpin industri untuk mula memikirkan semula masa depan pekerjaan, yang akan mendorong kepada keperluan dasar kerja baharu, pelaburan digital dan menyemak semula reka bentuk pejabat bagi membolehkan pengaturan kerja hibrid untuk produktiviti lebih tinggi,” katanya.

Kajian 1H Workmonitor 2021 dibuat pada Mac lalu, merentasi 34 pasaran seluruh dunia pada minimum 400 orang responden setiap pasaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI