KUANTAN – Jabatan Perikanan terus bertindak proaktif melabuhkan 10 lagi unit tukun tiruan bernilai RM325,000 di perairan Cherok Paloh di sini dalam usaha meningkatkan sumber perikanan dan habitat marin di perairan negara.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, selain meningkatkan sumber perikanan tukun tiruan jenis ‘Kuboid Juvenil’ itu menjadi penghalang kepada aktiviti nelayan pukat tunda yang boleh menjejaskan sumber perikanan negara.
“Dalam tempoh 13 tahun, jabatan perikanan melabuhkan sebanyak 262 tukun tiruan konkrit di beberapa perairan di negeri ini seperti perairan Cherating, perairan Rompin, perairan Pekan dan Pulau Tioman membabitkan peruntukan bernilai lebih RM4.4 juta.
“Tukun tiruan jenis ini amat sesuai berada di perairan negeri ini yang menjadi serampang dua mata, selain menjadi tempat pembiakan pelbagai jenis ikan ia menjadi penghalang aktiviti pukat tunda oleh nelayan asing di kawasan terbabit,”katanya selepas operasi melabuhkan tukun tiruan di perairan Cherok Paloh semalam.
Yang hadir sama, Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.
Menurut Abdullah, tukun tiruan di perairan Cherok Paloh dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,058 nelayan tradisi berdaftar di Zon A di negeri ini.
Katanya selain boleh meningkatkan hasil tangkapan nelayan, aktiviti memancing oleh golongan nelayan tempatan dan luar negeri ini menjadi lebih rancak apabila terdapat pelbagai jenis ikan berkualiti di kawasan tukun berkenaan.
Dalam pada itu katanya, tukun tiruan jenis berkenaan amat sesuai berada di perairan negeri ini kerana selain menjadi tempat pembiakan pelbagai jenis ikan sekali gus menggalakkan aktiviti reakreasi memancing yang boleh menambah pendapatan penduduk setempat.
“Kajian mendapati selepas 24 jam tukun jenis ‘Kuboid Juvenil’ dilabuhkan ia dapat menarik kehadiran pelbagai jenis ikan dan hanya selepas enam bulan tukun tiruan ditempatkan di kawasan terbabit pelbagai jenis ikan, tumbuhan karang dan hidupan marin lain akan menjadikan tempat berkenaan sebagai sarang atau habitat baru.
“Kita yakin daerah ini akan terus menjadi destinasi pelancongan memancing di kawasan tukun tiruan seterusnya dapat memberi pendapatan tambahan kepada pengusaha bot memancing,”ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929