BANGKOK – Menteri Kehakiman Somsak Thepsuthin memberitahu bahawa kementeriannya mengarahkan penjara di seluruh Thailand untuk menanam Fah Talai Jone iaitu tumbuhan yang digunakan dalam perubatan tradisional sebagai ubat alternatif bagi merawat pesakit Covid-19, lapor The Nation Thailand semalam.
Beliau menjangkakan Jabatan Penjara Thailand dapat menghasilkan kira-kira 4 juta kapsul Fah Talai Jone menjelang hujung bulan ini.
“Oleh kerana pengeluaran semasa tidak dapat memenuhi permintaan di masa depan, saya telah mengarahkan Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) membaiki mesin yang dirampas dan dan sebelum ini digunakan bagi menghasilkan dadah amfetamin. Mesin tersebut dijangka dapat mengeluarkan sekitar 20,000 tablet pil alternatif ini pada setiap jam sebagai pelan sokongan” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kementeriannya akan menggunakan mesin tersebut sementara menunggu pembelian mesin baharu.
“Kita perlu bersiap sedia untuk menangani pelbagai kemungkinan kerana Fah Talai Jone diguna pakai oleh ramai orang bagi merawat Covid-19,” katanya.
Ramuan Fah Talai Jone kebiasaannya digunakan secara tradisional untuk merawat selesema, demam, dan jangkitan bakteria. – Agensi