fbpx

Sekeluarga diselamatkan daripada banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular memaparkan anggota polis dari JSPT Kuala Lumpur bersama orang awam bekerjasama membantu menyelamatkan sebuah keluarga daripada dihanyutkan arus deras di Sungai Klang semalam. - Foto JSPT Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas anggota polis trafik Kuala Lumpur berjaya menyelamatkan sebuah keluarga yang terperangkap dalam banjir kilat di Sungai Klang di ibu negara petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian oleh gerakan trafik Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.20 petang.

“Bertindak atas maklumat yang diperolehi, Lans Koperal Hafizul Khalis Anuar dan Konstabel Wan Muhammad Hazleeshah Wan Hasbullah dari JSPT Kuala Lumpur telah bergegas ke lokasi dan mendapati masing-masing seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak terperangkap dalam banjir kilat.

“Tindakan pantas anggota trafik dengan bantuan orang awam berjaya menyelamatkan tiga mangsa di lokasi tanpa sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Sarifudin, mangsa yang berjaya diselamatkan memaklumkan bahawa mereka sekeluarga sedang memancing ikan di tepi Sungai Klang dalam keadaan hujan lebat dan tiba-tiba paras air naik tanpa mereka sedari.

“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang tiba tidak lama kemudian turut menghulurkan bantuan kepada mangsa yang berjaya diselamatkan,” ujar beliau.

Terdahulu, satu video berdurasi 20 saat tular di laman Facebook memaparkan beberapa orang anggota polis trafik bersama orang awam membantu mengeluarkan sebuah keluarga yang terkandas di Sungai Klang.

Tindakan pantas anggota polis berkenaan menerima pujian daripada pengguna laman sosial yang menyifatkan mereka yang terlibat sebagai berani dan harus dijadikan contoh.- K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI