PUTRAJAYA – Debaran kian terasa selepas kenderaan membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beredar meninggalkan Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 12 tengah hari tadi dipercayai dalam perjalanan ke Istana Negara untuk menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau diiringi beberapa buah kenderaan lain termasuk pasukan pengiring polis.
Ketika dirakam jurukamera, Muhyiddin yang mengenakan songkok di kepala sempat menurunkan tingkap dan melambai ke arah pengamal media yang sedang menunggu berhampiran Pintu Protokol.
Terdahulu, beberapa barisan Menteri Kabinet mula meninggalkan Kompleks Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 11.50 pagi tadi selepas selesai menghadiri mesyuarat khas yang berlangsung lebih satu jam itu.
Antara yang kelihatan termasuk Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Turut kelihatan meninggalkan Perdana Putra ialah Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929