PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau telah melakukan apa yang beliau fikirkan perlu untuk menyelamatkan nyawa rakyat jelata daripada wabak Covid-19.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ia termasuk menentukan rakyat ada makanan di atas meja dan nyawa mereka selamat.
“Ini adalah aspek terpenting dalam kehidupan sesebuah negara. Mungkin saya diangkat ke darjat ini (Perdana Menteri) untuk tujuan itu agaknya.
“Seperti yang dapat kita lihat pentadbiran kerajaan kita walaupun dalam sukar masih mampu untuk diteruskan. Kita meneliti bagaimana kita hendak membantu rakyat dan kesan Covid-19 cukup mendalam,” katanya dalam satu video yang dimuatnaik di laman Facebook miliknya.
Muhyiddin yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri hari ini berkata, beliau sanggup bercakap apa yang benar walaupun pahit.
Menurutnya, Allah S.W.T mengkehendaki umatnya bercakap benar dan melakukan apa yang betul iaitu melawan kejahatan.
“Kalau kita berpegang pada hukum sebegini, InsyaAllah hidup kita selamat. Jawatan ada amanah itu berat. Sebab itu saya kena buat betul.
“Betul bukan saya rasa betul, tapi Allah kata ini yang betul. Kita tidak lakukan apa yang kita rasakan betul, tetapi kita lakukan apa yang betul. Mungkin kita rasa itu betul, tetapi Allah kata itu tidak betul. Saya berpandu pada itu,” katanya.
Terdahulu, katanya, beliau seorang manusia yang mengikut peraturan dan tunduk kepada Perlembagaan Negara apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
“Saya telah berjanji bahawa saya akan menjunjung Perlembagaan Negara, instituasi diraja dan sebagainya,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929