fbpx

Mangsa penipuan kerja sambilan e-dagang rugi RM1.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Rosni menunjukkan salah satu platform e-dagang yang digunakan sindiket bagi menipu mangsa pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Seramai 107 individu di negeri ini kerugian lebih RM1.2 juta selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja sambilan di platform-platform e-dagang popular sepanjang tahun ini.

Mereka yang menjadi mangsa dalam tempoh Januari lalu sehingga kelmarin itu terdiri daripada pelajar seramai 35 orang, pekerja swasta (30), penganggur (21), peniaga (10), kakitangan kerajaan (enam) dan suri rumah (lima).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Mohd. Rosni Mohd. Lazim berkata, peningkatan kes berkenaan dipercayai didorong oleh situasi pandemik ketika ini yang memaksa orang ramai berada di rumah dan kerap melayari internet.

“Tahap kecurigaan yang rendah dalam kalangan pengguna menyebabkan kes penipuan tawaran kerja platform e-dagang meningkat selain kecuaian pengguna yang terlalu mudah percaya.

“Kita juga percaya minat golongan wanita terhadap aktiviti membeli-belah secara online turut mendorong mereka menjadi mangsa apabila 66 daripada mangsa adalah wanita dan lelaki seramai 41 orang,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Mohd. Rosni berkata, sindiket penipuan berkenaan merupakan taktik terbaharu scammer bagi menipu mangsa dengan menjalankan modus operandi mengiklankan tawaran pekerjaan sambilan di platform e-dagang terkenal melalui aplikasi sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp.

“Individu yang berminat akan menekan pautan yang mempunyai logo platform perniagaan online sebelum mereka diarah membeli barangan di platform terbabit dan memberikan ‘rating’ atau penilaian (tinggi) kepada barangan itu.

“Mereka dijanjikan komisen di antara lapan hingga 15 peratus dalam tempoh 10 hingga 15 minit pembayaran dibuat, namun mangsa akhirnya ditipu selepas semakin percaya dan membuat ‘kerja’ dengan lebih banyak pembelian,” katanya lagi.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa membelanjakan di antara RM1,000 hingga RM5,000 bagi setiap transaksi pembelian barangan bagi mendapatkan komisen yang banyak.

Menurutnya, orang ramai yang melihat iklan mencurigakan daripada individu tidak dikenali diminta membuat semakan akaun bank menerusi laman web https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI