PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyiapkan satu garis panduan baharu untuk menyelesaikan isu permohonan pertukaran guru.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, garis panduan itu akan mengantikan Surat Pekeliling Ikhtisas 1975 Panduan bagi Pertukaran Guru-Guru.
“Banyak penambahbaikan yang kita perkenalkan antaranya membenarkan permohonan pertukaran guru sepanjang tahun.
“Banyak lagi penambahbaikan dalam konteks pertukaran guru ini. KPM akan memberi penjelasan lanjut tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Radzi berkata, beliau menerima banyak permohonan yang berharap agar permohonan pertukaran guru 2021 diproses seiring dengan pengambilan guru baharu secara ‘one-off’.
Menurut beliau, perkara itu memang menjadi hasrat KPM iaitu permohonan pertukaran untuk tahun 2021 diselesaikan sebelum menempatkan 18,702 guru baharu daripada pengambilan ‘one-off’.
Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa perkara utama perlu diambil kira dalam memertimbangkan sebarang permohonan pertukaran.
“Faktor pertama adalah kekosongan jawatan di negeri yang dipohon dan kedua keperluan opsyen di negeri yang dipohon.
“Jika ada kekosongan jawatan di negeri tersebut, tapi tiada kekosongan atau keperluan opsyen di negeri tersebut, maka permohonan pertukaran dalam konteks ini amat sukar untuk dipertimbangkan,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929