MELAKA – Kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun yang diselamatkan polis semalam selepas dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandungnya serta kekasih dilaporkan stabil.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, bagaimanapun keadaan kanak-kanak tersebut masih dipantau oleh doktor pakar di Hospital Melaka.
Jelasnya, hak penjagaan mangsa dan adik perempuannya berusia satu tahun yang sebelum ini menetap bersama suspek juga telah dipindahkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk sementara waktu.
“Mangsa kini masih dalam keadaan stabil dan dipantau oleh doktor pakar di wad Hospital Melaka.
“Kini hak penjagaan mangsa dan adiknya berada dibawah JKM sehingga diserahkan semula kepada waris yang dikenal pasti,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengesan individu yang telah memberikan maklumat awal berhubung kejadian bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929