DORTMUND – Kapten Borussia Dortmund, Marco Reus memberi amaran agar tidak terlalu memuji bintang sensasi pasukan itu, Erling Braut Haaland susulan prestasi cemerlangnya sewaktu menewaskan Eintracht Frankfurt 5-2 dalam aksi Bundesliga awal pagi semalam.
Haaland, 21, terus membuktikan dirinya sebagai salah seorang penyerang terbaik di Eropah apabila meledak dua gol selain mencipta tiga umpanan jaringan dalam aksi di Stadium Signal Iduna Park itu.
Ini adalah perlawanan kedua berturut-turut penyerang prolifik Norway itu cemerlang di hadapan gawang lawan selepas terdahulu meledak hatrik ketika menang 3-0 ke atas SV Wehen dalam pusingan pertama Piala DFB Pokal minggu lalu.
“Kami memerlukan seorang penyerang seperti Haaland. Dia perlu sentiasa sihat, cergas dan konsisten agar mampu memenuhi kemahuan pasukan dalam setiap perlawanan.
“Dia sudah berulang kali membuktikan kemampuannya dengan menjaringkan gol daripada pelbagai sudut. Kehadirannya adalah bonus buat kami kerana dia mempunyai kriteria sebagai pemain yang lengkap.
“Namun, anda semua perlu berhati-hati supaya tidak memberikan terlalu banyak pujian kepada dirinya. Dia tidak boleh selesa dengan keadaan semasa dan masih perlu meningkatkan tahap permainannya,” kata Reus.
Secara keseluruhan, Haaland sudah berjaya menjaringkan 62 gol daripada 61 perlawanan dalam semua kejohanan bersama Dortmund sejak berhijrah daripada kelab Austria, Red Bull Salzburg dua tahun lalu.
Kecemerlangan Haaland secara tidak langsung menghadiahkan kemenangan Bundesliga pertama buat ketua jurulatih Dortmund, Marco Rose yang baru dilantik musim ini. – AGENSI