NEW DELHI – Perdana Menteri India, Narendra Modi mengumumkan peruntukan mega berjumlah £972 bilion (RM5.71 trilion) dalam pelan pembangunan infrastruktur bagi merancakkan sektor ekonomi, lapor stesen televisyen Sky News, kelmarin.
Perkara itu diumumkan Modi semasa berucap sempena sambutan Hari Kemerdekaan India Ke -75 di New Delhi hujung minggu lalu. Beliau berkata, peruntukan itu akan membuka peluang pekerjaan kepada beribu-ribu generasi muda.
“Dana yang dilaburkan dalam pelan ini akan membantu sektor pembuatan beralih daripada beroperasi bagi pasaran tempatan kepada peringkat antarabangsa.
“Ini sekali gus membuka peluang kepada pelbagai sektor baharu dalam ekonomi negara,” jelas Modi.
Modi tidak menjelaskan secara terperinci mengenai pelan yang dinamakan Gati Shakti, namun memaklumkan bahawa pelan pembangunan itu akan memberi tumpuan kepada penggunaan bahan api lebih hijau..
“India sedang bergerak maju bagi mencapai sasaran iklim yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Modi turut berjanji untuk melabur lebih banyak dalam sektor mobiliti elektrik, tenaga suria dan hidrogen hijau yang tidak menghasilkan karbon dioksida agar negara itu mampu menghasilkan tenaga lestari menjelang 2047.
“Sebelum ulang tahun ke-100 kemerdekaan, kita akan menjadikan India merdeka daripada kebertangungan dalam penghasilan sumber tenaga,” tegas Modi.
Sasaran Modi bagi menuju matlamat itu adalah dengan mengurangkan aktiviti import bahan api yang menelan belanja lebih £117 bilion (RM687 bilion) setiap tahun.
India juga mengimport kira-kira 85 peratus keperluan minyaknya untuk kegunaan rakyat dan sektor ekonomi.
Selain itu, dalam ucapannya, Modi turut memuji usaha program vaksinasi Covid-19 India u yang membantu menurunkan kadar jangkitan sejak beberapa bulan lepas.
Tambah Modi, beliau yakin kelancaran vaksinasi di India didorong oleh kemampuan negara itu menghasilkan sendiri vaksin tanpa perlu menunggu bekalan dari negara luar.
“Kami bangga kerana tidak perlu bergantung pada negara lain untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dan kilang pembuatan kami mempunyai fasiliti lengkap untuk menghasilkan bekalan sendiri,” katanya.
“Bayangkan apa yang akan terjadi jika India tidak mempunyai kilang pembuatan vaksin sendiri,” kata Modi.
Setakat ini, lebih 500 juta dos vaksin telah diberikan di seluruh India dan sekitar 11 peratus golongan dewasa telah divaksinasi sepenuhnya. – Agensi