PETALING JAYA – Kerajaan baharu diharap dapat dibentuk segera supaya pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh dua bulan ke hadapan adalah amat penting kerana Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober.
“Segala perancangan telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut. Sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.
“Jangan bimbang Kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.36 bilion. Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian,” katanya dalam satu perutusan hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin menegaskan, momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu dan rekod Malaysia mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan.
Menurutnya, beliau senantiasa prihatin dengan nasib rakyat yang dianggap sebagai anak anak sendiri.
“Kerana itu saya telah menekankan bahawa kebajikan saudara dan saudari menjadi keutamaan Kerajaan Perikatan Nasional iaitu sebuah kerajaan yang Prihatin Rakyat,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929