fbpx

Empat pelayar Twitter hina Mohd. Ali akan didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MELAKA – Polis Melaka mendedahkan seramai empat individu pelayar Twitter akan didakwa di Mahkamah Ayer Keroh, di sini berhubung kes mengeluarkan perkataan jelik dan menghina Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Kenyataan berbaur hasutan itu didakwa dilakukan individu terbabit dengan memetik laporan berita di Twitter mengenai lawatan Mohd. Ali ke sebuah rumah di Kampung Kesang Tua pada 28 Julai lalu.

Rumah tersebut merupakan tempat latihan atlet angkat berat wanita Filipina, Hidilyn Diaz melakukan persiapannya bagi temasya sukan Olimpik di Tokyo sebelum berjaya merangkul pingat emas pertama buat negaranya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, keseluruhan seramai lapan individu berusia 21 hingga 45 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan sejak 30 Julai sehingga 11 Ogos lalu.

Katanya, bagaimanapun hanya empat individu yang akan didakwa di mahkamah selepas kertas siasatan telah langkap dan dibawa kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“Sejak hujung bulan lalu kita telah memanggil dan menahan lapan individu bagi membantu siasatan berhubng kes mengeluarkan perkataan jelik dan menghina Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd. Ali Rustam.

“Namun, pihak polis telah mendapat kebenaran daripada bahagian pendakwaan untuk tindakan mendakwa empat individu berusia antara 28 hingga 45 tahun dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya keempat-empat individu tersebut akan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI