BEIJING – China sedia menjalin hubungan yang lebih ‘akrab dan bekerjasama’ dengan Afghanistan, kata seorang jurucakap pemerintah hari ini setelah kumpulan Taliban menguasai negara itu.
Beijing berusaha untuk mengekalkan hubungan tidak rasmi dengan Taliban sepanjang pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan.
Pengunduran AS mendorong kemaraan pejuang Taliban yang menyaksikan mereka menawan ibu kota Afghanistan, Kabul semalam.
China berkongsi sempadan sejauh 76 kilometer dengan Afghanistan.
Beijing sudah lama bimbang Afghanistan akan menjadi lokasi untuk kumpulan pemisah minoriti Uighur melancarkan serangan ke wilayah Xinjiang.
Bagaimanapun, delegasi peringkat tinggi Taliban bertemu dengan Menteri Luar China, Wang Yi di Tianjin pada bulan lalu dan berjanji bahawa Afghanistan tidak akan digunakan sebagai pangkalan pemberontakan.
Sebagai pertukaran, China menawarkan sokongan ekonomi dan pelaburan untuk pembinaan semula Afghanistan.
Hari ini China mengatakan bahawa ia mengambil peluang untuk mempererat hubungan dengan Afghanistan.
“Taliban berulang kali menyatakan harapan untuk meningkatkan hubungan baik dengan China dan mereka menantikan penyertaan China dalam pembangunan semula Afghanistan.
“Kami mengalu-alukan tawaran ini. China menghormati hak rakyat Afghanistan untuk menentukan nasib mereka sendiri dan bersedia untuk terus membangun,” kata jurucakap kementerian luar, Hua Chunying kepada wartawan.
Beliau meminta Taliban ‘memastikan peralihan kuasa yang lancar’ dan menepati janji untuk mewujudkan ‘pemerintahan Islam secara terbuka dan inklusif’ di samping memastikan keselamatan rakyat Afghanistan serta warga asing.
Kedutaan China di Kabul tetap beroperasi, kata Chunying, walaupun Beijing mula memindahkan warga China dari negara itu beberapa bulan lalu ketika situasi keselamatan di Afghanistan semakin merosot. – AFP