KEMAMAN – Detik hitam diserang hendap pengganas komunis kira-kira lebih 60 tahun lalu sehingga mengorbankan bapa saudaranya masih kekal dalam ingatan dan sanubari Che Wan Muda Che Wan Su, 84.
Warga emas itu berkata, kejadian berlaku sewaktu dia, arwah bapa saudara dan seorang sepupu lelakinya sedang bertugas sebagai anggota home guard atau yang kini telah dijenamakan sebagai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Pada waktu itu, kami bertugas untuk mengiringi sebuah lori yang dalam perjalanan untuk menghantar beras ke kampung kami iaitu Kampung Pasir Gajah.
“Sebaik tiba di satu selekoh, sekumpulan 60 anggota pengganas komunis yang bersembunyi di atas bukit tiba-tiba menyerbu dan melepaskan tembakan bertalu-talu selain membakar lori beras berkenaan.
“Salah satu tembakan dilepaskan mengenai tepat ke arah bapa saudara saya sehingga mukanya berkecai,” katanya ketika ditemui Kosmo! sewaktu menghias kawasan rumahnya dengan Jalur Gemilang di Kampung Pasir Gajah, di sini semalam.
Che Wan Muda berkata, dia yang sempat berlindung terselamat dalam serangan hendap itu, namun sepupu lelakinya juga cedera parah di bahagian punggung.
Dia berkata, setiap kali terkenang peristiwa hitam tersebut, dia pasti akan sebak sehingga mengalirkan air mata.
“Zaman itu betul-betul susah sehingga bekalan makanan pun tiada, tidak seperti sekarang semua mudah dapat.
“Generasi hari ini perlu memelihara keharmonian dan kemakmuran yang telah dikecapi dengan tidak mencemarinya dengan perbuatan merosakkan negara,” nasihatnya.
Che Wan Muda berkata, jika dahulu pejuang-pejuang mempertahankan tanah air dengan darah dan nyawa demi keamanan dan kemerdekaan, jadi seharusnya generasi hari ini pula perlu bersatu hati berjuang memerangi Covid-19 demi kesejahteraan negara. -K! ONLINE