KUALA LUMPUR – Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menzahirkan penghargaan dan memohon kemaafan sepanjang 17 bulan menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, penghargaan turut diberikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui kementerian tersebut.
“Saya amat menghargai peluang ini dan sesungguhnya tempoh sebagai Menteri KPDNHEP ini telah memberikan banyak pengalaman dan pelajaran yang cukup bermakna kepada saya.
“Menerajui kementerian ini dikala negara dilanda wabak Covid-19 sangat mencabar, memandangkan situasi ini tidak pernah dihadapi bukan sahaja negara kita, tetapi mana-mana negara di dunia ini.
“Pelbagai cabaran yang dihadapi, terutamanya masalah bekalan dan harga barangan keperluan termasuk pelitup muka serta pembelian panik yang tercetus akibat penularan wabak Covid-19 yang berleluasa,” katanya di sini hari ini.
Alexander turut menyatakan rasa bertuah kerana dibantu oleh Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan semua pegawai KPDNHEP yang terlibat selama ini.
“Saya juga bersyukur kerana diberi kesempatan melawat semua pejabat dan warga KPDNHEP negeri di seluruh negara yang juga banyak membantu tugas-tugas saya sebagai Menteri KPDNHEP.
“Kerjasama antara kami amat kukuh dan baik, saya berharap silaturahim ini akan terus terjalin meskipun saya tidak lagi berada di kementerian ini,” jelasnya.
Beliau turut berharap kemelut politik ketika ini akan dapat diselesaikan sebaik mungkin dengan segera demi kepentingan rakyat dan negara. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929