ISTANBUL, Turki – Seramai 70 orang terkorban dan 47 yang lain masih hilang selepas banjir kilat melanda rantau di pesisir Laut Hitam minggu lalu, kata beberapa pegawai hari ini.
Angka korban terus meningkat sepanjang hujung minggu lalu selepas pasukan menyelamat menyelongkar serpihan yang ditinggalkan setelah banjir di kawasan paling teruk terjejas surut.
Lebih 40 buah kampung masih terputus bekalan elektrik, manakala sebilangan kawasan tiada bekalan air, demikian menurut perkhidmatan pengurusan bencana dan kecemasan.
Pasukan-pasukan kecemasan turut mendirikan pemancar telefon bimbit sementara untuk membantu komunikasi.
Kemusnahan akibat banjir di rantau utara Turki itu berlaku ketika negara itu berjaya mengawal beratus-ratus kebakaran hutan yang meragut lapan nyawa dan memusnahkan kawasan hutan luas di selatan negara itu.
Pada Sabtu lalu, lima petugas Rusia dan tiga warga Turki terbunuh apabila pesawat pemadam api Rusia yang mereka naiki terhempas di kawasan pergunungan di selatan negara itu.
Sementara itu, saintis-saintis berkata, bencana alam seperti kebakaran hutan dan banjir menjadi semakin buruk serta kerap akibat impak pemanasan global yang berpunca daripada pencemaran. – AFP