JOHOR BAHRU – Bekas Datuk Bandar di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini yang didakwa terlibat kegiatan rasuah dilepaskan dari ditahan reman secara bersyarat.
Kebenaran itu diberikan oleh Majistret Normadiana Mamat di Mahkamah Majistret Reman, Johor Bahru, di sini hari ini setelah permohonan dibuat peguam bela Datuk Bandar itu, Omar Kutty dan Hazza Khalid.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), permohonan dibenarkan beserta syarat iaitu suspek dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM50,000 tanpa deposit beserta seorang penjamin.
Tambahnya, lelaki itu juga perlu hadir melapor diri pada tarikh yang ditetapkan ke Pejabat SPRM.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Sumber memaklumkan, suspek lelaki berusia 60 tahun yang ditahan SPRM Cawangan Batu Pahat itu disyaki melakukan kesalahan rasuah ketika menjawat jawatan Datuk Bandar PBT yang lain sebelum ini.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek telah menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek-projek yang dilaksanakan di bawah kendalian MBIP sewaktu menjadi Datuk Bandar,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929