PETALING JAYA – Seramai 13 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang tekong warga Indonesia yang cuba menyusup masuk ke negara ini melalui jalan tidak sah ditahan menerusi Ops Benteng di Kampung Masjid, Pengerang, Kota Tinggi, Johor awal pagi tadi.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) berkata, pihaknya telah dimaklumkan tentang kehadiran sekumpulan individu disyaki PATI kira-kira pukul 2.15 pagi di kawasan tersebut oleh pasukan peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Quick Reaction Force telah diaturgerakkan ke lokasi bagi melaksanakan pengesanan dan penjejakan telah menemui sebuah kereta jenis Proton Iriz namun pemilik kenderaan tersebut yang dipercayai warga tempatan berjaya melarikan diri.
“Hasil pemantauan oleh Pasukan Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) telah membawa kepada penangkapan 11 PATI di sekitar lokasi tersebut kira-kira pukul 5 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas kenyataan tersebut, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sungai Rengit turut memaklumkan bahawa terdapat sebuah bot yang terbalik di kawasan pantai berhampiran.
“Dua lagi PATI berjaya ditahan pada pukul 11 pagi di kawasan hutan berhampiran dan kesemua 12 PATI serta seorang tekong yang terdiri daripada lelaki warga Indonesia berusia 19 hingga 48 tahun dipercayai cuba menyusup masuk melalui jalan tidak sah.
“Keseluruhan rampasan berjumlah RM25,114 melibatkan sebuah Proton Iriz serta telefon bimbit dan kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929