SACRAMENTO, CALIFORNIA – Seorang wanita dari California, Amerika Syarikat mendakwa bahawa barangan besi melekat pada badannya seperti magnet selepas dia menerima suntikan vaksin Pfizer, lapor laman berita HuffPost semalam.
Amelia Miller yang ditemu bual dalam saluran berita One America News berkata, dia berubah menjadi ‘manusia magnet’ selepas menerima vaksin Covid-19 pada Jun lepas.
“Mulut saya mula berasa seperti rasa besi yang amat kuat.
“Saya kemudianya teringat akan beberapa laporan sebelum ini bahawa terdapat sebilangan orang yang mendakwa mereka mempunyai kebolehan magnetik selepas menerima suntikan vaksinasi.
“Pada awalnya, saya tidak mempercayainya kerana menyangkakan kesemua video itu satu penipuan dan orang melakukannya kerana ingin mendapatkan populariti dalam media sosial,” katanya.
Bagaimanapun, gadis itu mendakwa, dia secara tiba-tiba boleh melekatkan pelbagai jenis besi pada kulitnya dan dalam beberapa minit, dia dapat merasa seperti rasa besi di dalam mulutnya.
Ketika ingin menunjukkan kebolehan magnetiknya dalam sesi temu bual tersebut, Miller berjaya melekatkan sekeping besi bada badannya, namun malangnya, besi kedua terjatuh.
Pembaca berita yang menemu bualnya, Dan Ball kemudiannya secara spontan mengakui dia tidak tahu bagaimana untuk memberi respons kepada aksi Miller itu.
“Saya hilang kata-kata dan ingin menamatkan temubual ini setakat ini.
“Saya mengucapkan terima kasih atas cerita anda kerana terdapat lebih banyak maklumat di luar sana dan orang ramai bertanya mengenai kesahihan video tersebut serta bagaimana ia boleh berlaku,” ujar Ball.
Dalam pada itu, saintis-saintis memberitahu bahawa tiada bukti menunjukkan bahawa vaksin Covid-19 boleh menjadikan seseorang itu magnetik.
Sekiranya keadaan itu berlaku, ia berkemungkinan disebabkan oleh keadaan kulit yang melekit. – AGENSI