LONDON – Pengendali Brentford, Thomas Frank memuji kesebelasan pemainnya selepas mempamerkan aksi luar biasa untuk menumbangkan Arsenal pada aksi pembukaan saingan musim 2021/2022 awal pagi semalam.
Pendatang baharu EPL itu memastikan kemenangan pertama menjadi milik mereka selepas mengatasi Arsenal 2-0 menerusi jaringan cantik Sergi Canos dan tandukan Christian Norgaard berpunca daripada lontaran jarak jauh.
Skuad The Bees meraikan kejayaan tiga mata dengan penuh bergaya di hadapan kira-kira 17,000 penyokong di Stadium Brentford Community selepas kembali membuat kemunculan pada kancah tertinggi England dalam tempoh 74 tahun.
“Kami berada pada tahap terbaik dan pemain menunjukkan permainan yang penuh bertenaga untuk mengatasi Arsenal. Penonton yang hadir juga teruja dengan persembahan mereka.
“Penampilan mereka sangat luar biasa di tambah dengan sokongan penonton yang tidak henti-henti bernyanyi menaikkan semangat pemain. Atmosfera ini sangat menakjubkan.
“Kami layak menang dan meraih tiga mata penting pada aksi pertama ini. Perkara paling utama apabila mereka bermain dengan berani dan berusaha sebaiknya,” kata Frank. – AGENSI