PETALING JAYA – Orang ramai meluahkan rasa lega susulan kebenaran beroperasi bagi aktiviti-aktiviti perdagangan dan pengedaran yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi.
Tinjauan Kosmo! di beberapa platform media sosial mendapati, rata-rata penduduk serta peniaga menyambut baik pengumuman yang dikemukakan.
“Terima kasih. Kami peniaga barang kemas betul-betul sudah dihujung tanduk. Kalau tidak dapat buka sampai hujung tahun memang kami bungkus kedai,” kata Rohani.
“Lega nampak kedai gunting rambut dah buka, rambut dah panjang sangat dah ni. Yang penting patuh prosedur operasi standard (SOP) ya semua,” Kata Mohd. Hanafi.
“Harap dapat pertimbangkan servis penapis air, kesian pelanggan bayar bulan-bulan tetapi tidak dapat servis,” kata Wawa.
“Tan Sri kenapa tidak umum dalam televisyen? Ramai tak baca betul-betul nanti, sebab nampak syarat hanya yang sudah mendapat vaksinasi lengkap,” kata Aidil Armand.
Terdahulu, diumumkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi di negeri-negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa esok.
Antara perkhidmatan yang dibenarkan ialah kedai cuci kenderaan, kedai gunting rambut dan kedai barang kemas.
Manakala 11 lagi aktiviti ekonomi di dalam sektor perdagangan dan pengedaran turut dibenarkan untuk kembali beroperasi di negeri-negeri Fasa Dua PPN antaranya kedai barangan terpakai, kedai kosmetik dan kedai antik.
Bagaimanapun individu-individu yang ingin memanfaatkan kemudahan itu harus menerima vaksinasi lengkap. – K! ONLINE