JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia memadam sebuah mural yang memaparkan imej seorang lelaki mirip Presiden Joko Widodo (Jokowi) yang dilukis di Kota Tangerang, wilayah Banten, lapor laman berita Suara.com semalam.
Mural yang dilukis pada dinding sebuah jejantas itu memaparkan gambar lelaki seperti Jokowi memakai baju berwarna hitam dan putih serta mempunyai sepotong ayat bertulis, ‘404:Not Found’.
Ayat tersebut sering ditemui apabila pengguna internet tidak menemui dokumen atau laman web yang ingin diakses ketika membuat carian.
Ketua Polis Metro Tangerang, Deonijiu de Fatima mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa mural tersebut telah dipadam menggunakan cat berwarna hitam.
“Selepas disiasat, mural itu disedari dua hari lepas.
“Ia bagaimanapun telah dipadam kerana mirip dengan wajah Jokowi,” katanya.
Tambah Deonijiu, setakat ini, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti suspek yang melukis mural tersebut kerana masih belum menerima rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan terbabit.
“Kami belum mengenal pasti suspek. CCTV juga masih belum disiasat,” katanya. – AGENSI