Media sosial seperti Instagram dan TikTok menjadi platform generasi Z termasuk Farzana Ismail mengekspresikan diri terutama dalam bidang tarian.
Gadis berusia 24 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur ini menjadikan Raja Pop, Michael Jackson sebagai idola bagi tarian moden.
Farzana atau lebih mesra disapa Ana memberitahu, dia menghabiskan masa kira-kira lima jam sehari dengan menari.
“Menari membuatkan saya berasa ‘bebas’ daripada tekanan selain menyihatkan kerana gerak tari ini boleh diibaratkan seperti senaman,” katanya.
Ketika ditemu bual Kosmo! Ahad, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Kolej Damansara Utama (KDU) yang kini bergelar pegawai pemasaran digital ini bercerita mengenai dirinya.
Kosmo! Ahad: Mengapa memilih tarian?
Farzana: Minat menari ini timbul dengan sendirinya apabila saya melihat gaya bersahaja penari-penari hip hop sama ada di kaca televisyen atau secara langsung. Selepas itu saya meniru aksi tarian mereka dan terus jatuh cinta.
Pernah mengikuti kelas atau latihan secara formal?
Pernah. Ketika berusia 15 tahun, saya telah menyertai kelas anjuran di kawasan kejiranan sebelum mengasah teknik tarian di studio milik Muhammad Haslam Abdul Rahman atau Alam Wakaka.
Pernah menyertai pertandingan tarian?
Tidak pernah, kerana saya menari sekadar suka-suka. Namun, saya pernah menyertai sebagai penari iringan dalam muzik video (MV) Peneman Hati nyanyian Eleena Harris.
Siapa idola anda?
Penyanyi legenda antarabangsa, Michael Jackson kerana beliau merupakan pelopor tarian moden. Saya tidak lupa tarian ikoniknya yang dipanggil ‘Moon Walk’.
Ramai golongan muda memilih TikTok. Apa pandangan anda?
Tidak dinafikan TikTok merupakan platform bagi generasi muda untuk memperkenalkan diri atau apa sahaja yang mereka minati kepada masyarakat di luar sana. Namun, ia bergantung kepada individu itu sendiri kerana TikTok juga boleh dijadikan sebagai medium untuk menyampaikan mesej yang positif
Sikap lelaki yang paling dibenci?
Mementingkan diri sendiri, tidak bertanggungjawab dan bersikap kurang ajar terutama terhadap perempuan.
Apa hikmah di sebalik pandemik Covid-19 di Malaysia
Kita saling membantu dan menyokong sebagai masyarakat berbilang bangsa yang hidup dalam satu rumpun. Antara inisiatif yang dipuji adalah mengibarkan bendara putih. Ramai yang mendapat manfaat dan dibantu tanpa mengira latar belakang.