PUTRAJAYA – Sebanyak lima lagi kes positif Covid-19 berkaitan persidangan Dewan Rakyat dilaporkan hari ini menjadikan jumlah terbaharu yang dijangkiti seramai 102 individu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan lima kes tersebut adalah kes semasa Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang diadakan pada 26 hingga 29 Julai lalu.
Beliau berkata, kelima-lima kes baharu tersebut telah dimaklumkan pada 13 Ogos lalu melibatkan lima sekeluarga di mana kes pertama bergejala adalah individu yang menghadiri sidang Parlimen tersebut.
“Tiga kes mempunyai nilai kitaran ambang atau CT value RT PCR antara 16.98 sehingga 22.76 (kebolehjangkitan tinggi) manakala dua lagi adalah di antara 28.98 sehingga 33.98 (kebolehjangkitan rendah).
“Kesemua mereka telah lengkap mendapat dua dos vaksin. Mereka hanya bergejala ringan dan menjalani kuarantin di kediaman masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan bersama Parlimen dan Majlis Keselamatan Negara melaksanakan kesiapsiagaan bagi menambah baik persediaan pembukaan semula Parlimen bertujuan mengurangkan lagi risiko penularan jangkitan sebelum dan semasa persidangan.
Beliau berkata, kesiapsiagaan itu terdiri daripada tindakan memastikan individu pelbagai kategori dari pelbagai negeri yang hadir ke Parlimen adalah sihat dan tidak dijangkiti Covid-19 pada masa tersebut.
“Selain itu ia melibatkan keadaan persekitaran serta bahagian dalaman Parlimen dikaji dan ditambah baik supaya selamat, kurang risiko dan tidak menjadi tempat penularan Covid-19,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929