fbpx

Kuasa reda dan keikhlasan yang menginspirasikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YANG pergi takkan kembali, yang tinggal kini hanya rindu. Shuib mengakui reda dan kuasa reda itu telah dapat dilihat melalui setiap perkongsian Shuib sebaik mendepani kehilangan Siti Sarah.

KEHILANGAN orang tersayang merupakan satu perihal menyakitkan yang boleh meruntuhkan benteng semangat hidup. Buat insan bernama Shahmira Muhamad atau lebih dikenali sebagai Shuib, situasi itu berlaku dalam hidupnya Isnin lalu apabila isteri, Siti Sarah Raissuddin meninggal dunia asbab Covid-19.

Kebanyakan daripada kalian barangkali sudah cukup tahu apa yang berlaku kepada Allahyarham isterinya sehingga ada yang meminta untuk tidak memberitakan atau melaporkan lagi kisah pilu mereka.

Ada yang menurunkan kenyataan ‘palatao’ atau dalam loghat Kedah bermaksud kepala tahu yang dideskripsikan sebagai mereka perasan seolah-olah mengetahui semua benda.Paling tidak enak, termasuklah menidakkan skop kerjaya wartawan tempatan dengan kritikan ‘over-reporting’ episod duka Shuib sekeluarga.

Perkara berlaku kepada orang lain bukan kepada diri kita. Justeru, mudah untuk sesiapa pun melemparkan kata-kata kurang empati kerana bukan kita yang berada di tempat Shuib dan orang sekeliling yang rapat dengan Allahyarham.

“Saya nampak okey sahaja, tapi di dalam Tuhan saja tahu. Dari semasa ke semasa saya cuba pujuk hati. Perkara ini berlaku betul-betul pantas. Hanya lima hari.”

Itu ungkapan dari bibir bapa kepada empat cahaya mata itu usai majlis tahlil dan bacaan Yasin buat arwah.

Benar, dari segi luaran dia nampak kuat tapi gejolak dalam hati, hanya diri sendiri dan Tuhan sahaja yang tahu.

DARI hari pertama pemergian isterinya, pendekatan dan reaksi Shuib mendepani erti tiada lagi Siti Sarah di muka bumi ini sangat luar biasa. Reda yang dituturkan dari bibirnya terpancar di wajah dan meresap ke jiwa ramai.

Sistem sokongan

Shuib beruntung kerana saat dihempap ujian, ramai yang memberikan sokongan kuat. Ahli keluarga, kawan-kawan dan peminat yang mengenali dirinya secara langsung atau tidak langsung menadah tangan memanjatkan doa buat isterinya.

Penulis yang beberapa malam mengikuti majlis tahlil dan bacaan Yassin secara maya buat Sarah cukup menyedari perkara tersebut.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tapi Shuib terlihat cekal dan keredaan yang terluah dari bibir seperti benar-benar tertanam dalam jiwanya.

Acap kali apabila bercerita tentang Allahyarham isteri, nuansa emosinya bertukar sugul, namun seperti ada kekuatan dalam setiap kesugulan yang terpancar pada riak wajahnya.

“Saya tahu dia (Sarah) memang dah tiada. Cuma, bila rindu. Rindu itu yang berat. Insya-Allah, masa akan mengubati dan rindu akan kekal selama-lamanya,” ujarnya.

Teruskan karier, kehidupan

Hampir seminggu tragedi nyawa permaisuri hatinya diragut Covid-19, orang ramai masih bercakap tentang hal tersebut. Ada yang masih menzahirkan penghormatan dan takziah, ada juga yang berharap agar tidak terus meratapi kematian orang yang sudah tenang didakap rahmat Ilahi.

Ramai mengharapkan anak seni yang memulakan langkahnya sebagai pelawak itu terus melestarikan kehidupannya dengan tabah dan penuh ilham.

Penulis percaya, dia sedang bergerak menempuh satu kehidupan baharu. Biarpun tidak dtemani seorang wanita bernama isteri, Shuib harus kuat demi empat cahaya mata bukti mereka selama ini, termasuk si kecil, Ayash Affan.

Shuib bukan hanya kehilangan isteri, bahkan pembantu rumah yang sudah dianggap sebagai seperti darah daging sendiri tiga hari sebelum kematian Siti Sarah. Semuanya, disebabkan virus maut, Covid-19.

Jelasnya, dia berasa kekok menguruskan anak-anak berseorangan.

“Bab anak-anak ini yang buat saya macam pelik sikit. Kadang-kadang mulut pun masih terpanggil nama pembantu rumah.

REDA dan berlapang dada dengan ketentuan Allah menjadi pegangan Shuib saat menerima hakikat bahawa isterinya Siti Sarah kini tiada lagi di muka bumi.

“Ketika tengah cari jubah dan baju anak-anak, saya terpanggil namanya sedangkan dia (pembantu rumah) dah meninggal dunia. Sebab sudah terbiasa dengan bantuannya,” ujarnya.

Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, beberapa hari selepas Siti Sarah pergi, abangnya, Ahmad Firdous yang positif Covid-19 turut ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, sejak Khamis.

Bagaimanapun, bagaikan satu magis, Ahmad Firdous sudah sedarkan diri selepas beberapa jam ditidurkan.

Jika ada yang belum benar-benar faham bahawa Covid-19 boleh merentap nyawa sesiapa sahaja dalam sekelip mata, kisah Shuib dan Sarah ini sudah cukup menjadi bukti.

“Apa yang berlaku pada keluarga saya. mohon dijadikan sebagai pengajaran yang perlu dikongsi. Kita kena jaga kesihatan, makan vitamin supaya sistem imunisasi kuat. Jangan sayang duit.

“Saya tersentak sebab Allahyarham belum sempat divaksin. Apabila merenung semula, banyak mana duit tidak akan mengembalikan nyawa,” kata Shuib.

Untuk Shuib atau sesiapa di dunia ini yang diuji virus Covid-19, semoga dipermudahkan segalanya.

Semoga apa yang berlaku menjentik jiwa kita untuk menjadi manusia yang lebih baik pada masa akan datang bertapak di muka bumi yang semakin lama, semakin jelas sifat kesementaraannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI