JAKARTA – Jabatan kesihatan Indonesia menggesa polisi kuarantin kendiri yang diamalkan kerajaan perlu diubah segera bagi mengekang kadar jangkitan dan kematian di rumah yang semakin melonjak, lapor stesen penyiaran CNN, semalam.
Sejak gelombang kedua Covid-19 melanda republik itu pada pertengahan Julai lalu, kebanyakan pesakit yang tidak mempunyai gejala teruk diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Ini bagi mengelakkan kesesakan melampau di hospital-hospital kerajaan yang sememangnya tidak memiliki fasiliti kesihatan cukup dan cekap.
Ketika kes semakin melonjak, pemerintah mengambil tindakan pantas dengan membangunkan pusat kuarantin dan hospital sementara termasuk menggunakan blok apartmen kosong dan kapal kargo.
Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi berkata katil-katil yang tersedia adalah lebih daripada cukup bagi menumpang kes harian yang mencecah 30,000 setiap hari.
Namun begitu, media tempatan melaporkan, setakat minggu lepas, hanya sekitar 300 katil yang digunakan oleh pesakit di pusat-pusat tersebut dengan ribuan lain masih terbiar kosong.
Menurut Siti Nadia, pesakit tidak bergejala (asimptomatik) atau dengan simptom tidak serius masih diberi pilihan untuk menjalani kuarantin di rumah.
Bagaimanapun, pilihan itu adalah atas risiko sendiri dan kerajaan tidak menyimpan rekod kematian bagi pesakit yang memilih kuarantin kendiri kecuali bagi sesetengah pemerintah daerah yang mengemaskini jumlah itu di laman sukarela, LaporCovid-19.
Setakat bulan ini, hampir 50 kes kematian akibat kuarantin kendiri dilaporkan oleh pemerintah daerah menerusi laman LaporCovid-19.
Apabila kematian berlaku, respons yang diterima daripada jabatan kesihatan untuk datang menguruskan jenazah sangat lambat kerana lambakan kes lain di hospital.
Oleh sebab itu, kebanyakan penduduk bergantung harap kepada sukarelawan dari majlis agama daerah untuk membantu menguruskan jenazah pesakit yang tidak boleh disentuh keluarga.
Persatuan Perubatan Indonesia (PPI) kini mendesak pemerintah mengubah dasar tersebut kerana kuarantin kendiri tanpa pengawasan hanya menjadikan penyebaran virus lebih serius.
Malah apabila keadaan pesakit yang kuarantin di rumah semakin teruk, hospital sudah tidak dapat menerima kemasukan mereka terutama sejak varian Delta menyerang negara itu.
“Umum mengetahui, sebuah rumah di Indonesia kebiasaannya dihuni lebih daripada satu keluarga jadi pesakit tidak mempunyai ruang yang sesuai untuk menjalani kuarantin dengan baik.
“Oleh sebab itu, virus yang sepatutnya dihapuskan akhirnya menjangkiti orang lain di dalam rumah sama,” kata Dr. Daeng M. Faqih, Presiden PPI.
Selain itu, Daeng berkata bagi pesakit yang menjalani kuarantin kendiri dan tidak bergejala, mereka dikhuatiri keluar rumah sesuka hati kerana tidak dikawal oleh pihak berkuasa.
“Sudah banyak kes pesakit yang menjalani kuarantin kendiri keluar membeli barangan keperluan dan makanan kerana tiada pilihan lain memandangkan semua ahli keluarga dijangkiti Covid-19.
“Ini dapat meningkatkan lagi penyebaran virus kepada masyarakat luar yang kebanyakannya belum divaksin,” katanya.
Sehingga kini, Indonesia masih melaporkan jumlah kematian akibat Covid-19 tertinggi di dunia setiap hari iaitu sekitar 1,500 orang berbanding 490 di India dan 342 di Amerika Syarikat.
Meskipun pemerintah menyasarkan edaran hingga dua juta vaksin sehari bagi bulan ini, harapan memvaksinasi sekurang-kurangnya 208 juta daripada 270 juta penduduk masih jauh ketinggalan.
Setakat kelmarin, data menunjukkan kurang 10 peratus populasi penduduk Indonesia yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19. – Agensi