fbpx

Kerajaan terpaksa meminjam lebih demi rakyat dan ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul.

PETALING JAYA – Kerajaan terpaksa melakukan pinjaman lebih banyak pada tahun 2020 dan 2021 bagi membantu rakyat serta memulihkan ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam satu perkongsian di laman Facebook miliknya berkata, pinjaman tersebut bagi melaksanakan pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi untuk melindungi kehidupan rakyat, menyokong perniagaan dan memelihara ekonomi negara.⠀

Katanya, dalam keadaan ekonomi lebih baik, kerajaan tidak perlu banyak meminjam kerana pendapatan melalui cukai dan sebagainya boleh menampung perbelanjaan tetapi dalam keadaan krisis ekonomi dan kesihatan kesan pandemik pendapatan negara sangat terjejas.

“Pendapatan kerajaan menurun dengan drastik, sedangkan keperluan untuk membantu rakyat meningkat.

“Meminjam ataupun berhutang adalah salah satu sumber dana Kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat tetap terbela,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya lagi, jumlah pinjaman kasar Kerajaan Persekutuan dari Januari sehingga 13 Ogos 2021 adalah sebanyak RM141.3 bilion merangkumi beberapa perkara.

“Jumlah itu merangkumi pembiayaan semula hutang terdahulu yang matang sebanyak RM58.5 bilion. Hutang ini merupakan pinjaman yang dibuat bagi membiayai defisit fiskal terdahulu yang telah dialami sejak tahun 1998.

“Memandangkan negara masih lagi berada dalam kedudukan fiskal defisit, ini bermakna kerajaan perlu membuat pinjaman bagi membiayai pinjaman yang akan matang,” ujarnya.

Katanya, pembiayaan defisit fiskal (program dan projek pembangunan yang diluluskan semasa pembentangan Belanjawan 2021 serta beberapa pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi) sebanyak RM82.8 bilion termasuk penebusan semula hutang yang akan matang pada tahun ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, daripada RM82.8 bilion tersebut, sehingga akhir Julai 2021, sebanyak RM51.3 bilion digunakan untuk membiayai pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi melalui Kumpulan Wang Covid-19.

“Sebanyak RM20.3 bilion telah dibelanjakan bagi program Bantuan Prihatin Rakyat (RM6.5 bilion), Bantuan Prihatin Nasional (RM2.4 bilion), subsidi upah (RM4.3 bilion), perbelanjaan berkaitan Covid-19 (RM1.5 bilion), sokongan bantuan sosial (RM700 juta), Gerakan Khas Prihatin (RM2.4 bilion) dan projek berskala kecil (RM700 juta).

“Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM31 billion merangkumi projek pembangunan infrastruktur termasuk bayaran komitmen kewangan melebihi RM15 bilion yang sebelum ini dilaksanakan secara ‘off-budget’,” katanya.

Tambah beliau, bakinya pula adalah bagi memenuhi keperluan aliran tunai dan membiayai hutang yang akan matang.

“Kerajaan sentiasa telus dalam membuat pinjaman. Semua maklumat rasmi berkenaan kedudukan fiskal dan hutang negara, termasuk mengenai pinjaman kasar Kerajaan Persekutuan boleh dirujuk daripada beberapa sumber rasmi oleh kerajaan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI