KETUA jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel mengakui pasukannya sudah boleh mendabik dada selepas kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA FC) 4-2 di Stadium Darul Aman kelmarin.
Pada aksi tersebut, skuad Gergasi Merah berjaya meraih kemenangan hasil ledakan hatrik penyerang sensasi, Ifedayo Olusegun dan satu jaringan menerusi pemain muda, Danial Asri.
Pengendali import dari Jerman itu mengakui tiga mata yang diraih itu adalah hasil kerja keras semua pemain selain mengakui KDA FC yang diarahkan beraksi dengan 10 pemain turut memudahkan lagi misi mereka.
“Saya akui cukup berpuas hati dengan apa yang pemain pamerkan kerana ini adalah bukti apabila mereka bekerja keras menyumbangkan tenaga untuk bertemu lawan yang sukar seperti KDA FC.
“Saya juga gembira kerana Selangor mencapai tiga kemenangan berturut-turut dan kami harus teruskan momentum ini dalam perlawanan seterusnya dan kita akan melihat di mana kedudukan terbaik kami dalam dalam carta liga.
“Mengenai perlawanan, saya akui kami menghadapi kesukaran pada babak pertama apabila pasukan lawan dapat memberi saingan sengit meskipun beraksi dengan 10 pemain, tetapi secara keseluruhan, kami layak meraih tiga mata penuh,” katanya.
Mengulas lanjut, Neitzel mengakui tempoh seminggu yang akan dilalui ini sebelum bertemu Perak FC pada Sabtu depan adalah tempoh terbaik untuk memulihkan semula tahap kecergasan pemain.
“Saya harap jurang tujuh hari sebelum perlawanan seterusnya dapat dimanfaatkan oleh pemain dalam memastikan betul-betul cergas untuk menamatkan kempen liga musim ini dengan cemerlang,” katanya.