fbpx

Fendy Caliph Buskers ajak tonton ‘show’ maya 21 Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FENDY rancang untuk menjayakan sebuah persembahan solo secara maya pada 21 Ogos ini.

PETALING JAYA – Pernah berbaki RM1 sahaja dalam tangan ketika awal penghijrahan ke Kuala Lumpur sedekad lalu, namun pemain drum Caliph Buskers, Fendy Adlun enggan pulang ke kampung, sebaliknya terus cekal mencari rezeki dan menerusken kehidupan di ibu kota.

Katanya, memori melalui kesukaran bergelar warga kota sehingga terpaksa berhutang di kedai makan membuatkannya menghargai nilai setiakawan dan setiap sen yang diperolehi.

“Selepas habis belajar memang saya tekad untuk mencuba nasib di Kuala Lumpur tambahan pula di sini persatuan ada menawarkan kursus untuk individu cacat penglihatan seperti saya.

“Memang mak ayah berat hati melepaskan pergi tetapi saya sudah pasang impian, selain menimba ilmu kemahiran saya juga mahu cari ruang bermain muzik kerana di kampung saya biasa main dengan band kenduri kahwin.

“Dipendekkan cerita selepas habis kursus banyak dugaan saya tempuhi bersama rakan dari Caliph Buskers termasuk Azmi yang saya kenali dari persatuan sampai ada yang gelar kami peminta sedekah ketika cari rezeki dengan busking.

“Saya pula pernah duit tinggal RM1 saja hingga tebalkan muka minta berhutang di kedai makan. Bukan tak boleh balik kampung, cuma saya mahu berdikari. Kini 10 tahun, saya tetap di sini mencari rezeki,” katanya.

Enggan terus mengharap kepada nasib selepas hampir dua tahun berdepan pandemik Covid-19, bapa tunggal kepada seorang anak itu merancang mengadakan persembahan maya pertama pada 21 Ogos ini.

Mengenakan caj bayaran sebanyak RM10, Fendy, 30, menegaskan penampilan solo tanpa anggota Caliph Buskers lain itu hanya projek khas, bukan petanda dirinya bakal bergerak solo.

Katanya, selain membawakan lagu ciptaannya sendiri dan dendangan popular kumpulannya, dia bakal berkongsi pengalaman hidup dan sejarah Caliph Buskers.

“Banyak yang saya tak pernah kongsi kisah suka sebelum masuk ke arena muzik arus perdana termasuk dengan ibu bapa sendiri sebab ketika itu saya mahu buktikan mampu berdikari.

“Showcase itu nanti juga akan jadi gelanggang interaktif untuk sesi soal jawab. Tanyalah apa saja. Saya tak harap tinggi melangit, dapat 100 penonton pun saya sudah lega,” kata pemuzik yang bermain drum dan gitar sejak berusia 10 tahun.

Selain sokongan daripada pemuzik Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Fendy turut mendapat bantuan daripada Tempatan Fest, VillaPria Studio dan Photoclique Photography menjayakan persembahan solo tersebut.

Peminat boleh membeli tiket berharga RM10 tidak termasuk caj perkhidmatan boleh melayari http://fendy.ubertickets.my untuk maklumat lanjut.

Terdahulu, penantian Fendy terhadap permohonan mendapatkan rumah sewa di Projek Perumahan Rakyat selama tujuh tahun terjawab apabila sudah mendapat kunci untuk mendiami sebuah uni PPR Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras.

Kisah Fendy dan anaknya yang hidup dalam kesempitan sebelum ini turut meraih perhatian ramai termasuk menteri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI