PETALING JAYA – Pelakon Yana Samsudin memaklumkan 12 ahli keluarganya positif virus Covid-19.
Yana menerusi hantaran dalam InstaStorynya memberitahu dua orang kakak kandungnya juga antara yang dijangkiti wabak maut tersebut.
“Dukacita dimaklumkan ahli keluarga saya iaitu Kak Yati dan Kak Liza disahkan positif Covid-19. 12 orang semuanya termasuk anak-anak.
“Sesiapa yang dah berhubung secara rapat boleh membuat ujian calitan sebab Kak Long saya tidak bergejala.
“Anak Kak Ngah saya juga tidak bergejala. Sama-sama kita jaga kesihatan,” tulisnya.
Menerusi hantaran berbeza semalam, pelakon filem Adnan Semp-it itu turut meluahkan perasaan sedih terhadap apa yang menimpa keluarganya.
“Tak tahulah nak sedih atau apa. Semoga mereka kuat dan sihat semuanya,” katanya.
Sebelum ini, beberapa selebriti tanah air antaranya Ashraf Muslim, Puteri Aishah, Alif Satar, Harris Anuar, Shima Anuar, Emma Maembong, Aepul Drama Band, Sweet Qismina, Aprena Manrose, Man Kidal, Jue Aziz dan Yusuf Bahrin turut disahkan positif Covid-19.
Hari ini, negara mencatatkan jumlah kes baharu Covid-19 sebanyak 20,546 dengan kes kematian sebanyak 282 orang. – K! ONLINE