fbpx

Warga emas antara 8 ditahan terlibat judi online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara lapan individu yang ditahan dalam serbuan semalam. /FOTO IHSAN PDRM

KUALA LUMPUR – Lelaki warga emas berusia 70 tahun antara lapan ditahan dalam satu serbuan melibatkan aktiviti judi dalam talian (online) di Jalan Landak Off Jalan Pudu di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan telah dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 4.30 petang.

“Kesemua tangkapan terdiri daripada lima lelaki warga tempatan (pemain) dan tiga lelaki warga asing (penjaga) berusia dalam lingkungan 24 hingga 70 tahun.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis tersebut, kita telah merampas tablet (12), telefon bimbit pelbagai jenama (3), router, modem internet dan wang tunai berjumlah RM918,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, polis akan terus meningkatkan serbuan dan tangkapan menerusi tindakan yang lebih tegas termasuk mengambil tindakan menerusi Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 terhadap sindiket tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti judi dalam talian di sekitar daerah ini boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI