PETALING JAYA – Imam Masjid Negara, Ustaz Khisamudin Ismail yang dilaporkan meninggal dunia pagi tadi menghidap komplikasi jantung.
Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd. Hosni berkata, Khisamudin, 53, yang juga merupakan pegawai kanannya itu menghadapi masalah injap jantung sejak tahun 2018 lagi.
Ia sekali gus menjawab persoalan orang ramai yang bertanya sama ada beliau meninggal dunia akibat wabak Covid-19.
“Allahyarham memang menghadapi masalah injap jantung sempit dan ada mendapatkan rawatan sejak tahun 2018 lagi.
“Beberapa hari lalu, Khisamudin juga mendapatkan rawatan di Hospital UiTM Sungai Buloh sebelum meminta untuk pulang ke rumahnya di Kota Puteri semalam, sebelum meninggal dunia sekitar pukul 4 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurutnya, jenazah telah selamat dikebumikan kira-kira pukul 10.30 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Batu Arang, Rawang.
“Seingat saya lebih daripada lima bulan tidak bertemu dengannya, kami banyak berhubung melalui aplikasi WhatsApp sahaja. Kali terakhir beliau WhatsApp saya tiga hari lepas bagi memaklumkan keadaannya sedikit kritikal dan masih ditempatkan di wad Hospital UiTM Sungai Buloh.
“Selepas dibenarkan pulang ke rumah semalam, isterinya juga ada datang untuk mengemas barang-barang milik arwah di pejabatnya,” ujarnya.
Difahamkan, Khisamudin turut meninggal dunia pada hari ulang tahun kelahirannya iaitu 14 Ogos 1968. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3222339
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929