PETALING JAYA – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menubuhkan Pusat Penyelidikan Pedagogi dan Inovasi (CPRI) bagi membantu mengukuhkan pedagogi dalam pengajaran di negara ini.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, UPSI perlu ke hadapan dalam membantu negara membentuk hala tuju pembangunan pendidikan.
“UPSI tersohor dalam dunia pendidikan dalam melahirkan guru yang berbakti di seluruh negara.
“UPSI adalah kesinambungan zaman Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) yang berjaya melahirkan tokoh pendidik, pemimpin, sasterawan dan sukarelawan yang hebat serta dikagumi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Dr. Marzita Puteh pula berkata, UPSI memiliki ramai pakar dalam bidang pedagogi yang akan digemblengkan menerusi CPRI.
Menurut beliau, UPSI komited merealisasikan teras utama universiti iaitu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di semua peringkat pendidikan dalam pelbagai disiplin ilmu.
Jelas beliau, CPRI akan menekankan kepada pedagogi dan teknologi dalam semua bidang pendidikan iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Sains Kemanusiaan, Bahasa dan Khas.
Sementara itu Pengarah CPRI, Prof. Dr. Abdul Rasid Jamian berkata, modul latihan berdasarkan disiplin ilmu yang ditetapkan akan dibangunkan secepat mungkin.
Kata beliau, CPRI akan turut membangunkan modul berdasarkan subjek ditawarkan di sekolah supaya graduan UPSI mengkhusus kepada subjek di sekolah.
“Bagi memantapkan gerak kerja CPRI, beberapa felo akan dilantik iaitu membabitkan akademia UPSI dan guru pakar yang hebat dan cemerlang peringkat nasional dalam sesuatu subjek.
“Bahagian Pembangunan Kokurikulum KPM dan pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) juga akan dilibatkan supaya modul yang dibangunkan bertepatan dengan kehendak sasaran,” katanya.
CPRI juga kata beliau akan menjadi pusat pengumpulan data berkaitan pendidikan termasuk isu PdPR yang sedang diharungi kehidupan masyarakat.
“CPRI akan mengeluarkan sijil profesional pendidikan yang setaraf dengan lesen untuk mengajar,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929