KEHIDUPAN bahagia bukanlah diukur daripada wang ringgit mahupun pangkat semata-mata. Kebahagian, kegembiraan dan keharmonian itu adalah tentang bagaimana kita menghadapi kehidupan ini dengan cara sendiri.
Ada orang yang miliki wang jutaan ringgit dan harta melimpah-ruah, tetapi hidupnya tertekan hanya kerana ekonomi terjejas. Ada juga yang dikurniakan pangkat dan gelaran terhebat, namun sentiasa gelisah asbab perebutan kuasa yang tidak pernah berakhir.
Sebagai rakyat biasa, kita sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan untuk merasai erti sebuah kegembiraan.
Pada ketika negara berperang untuk melawan Covid-19, kita pula hanya perlu ‘bersembunyi’ di rumah untuk satu tempoh yang kita sendiri tidak pasti.
Namun, dalam kalangan kita, tetap ada yang menjadi mangsa kepada peperangan ini. Angkanya bukan kecil, tetapi telah mencecah ribuan orang. Mereka adalah kawan-kawan kita, insan yang kita kenali dan juga individu yang dihormati.
Mereka pergi pada ketika kita semua terkurung. Tiada apa yang dapat dilakukan, selain menghadiahkan doa dan ucapan takziah kepada waris yang ditinggalkan.
Sampai satu ketika, kita juga seperti kehilangan ‘rasa sedih’ kepada mereka yang telah pergi, seolah-olah kematian itu tidak lagi menjadi satu kejutan.
Kesedihan, kedukaan, dan kesunyian sebenarnya telah menguasai hampir keseluruhan hidup rakyat Malaysia. Malah, amat sukar untuk kita melihat seseorang itu bergembira, melainkan mereka yang berpura-pura ceria untuk menghiburkan hati.
Rakyat sebenarnya semakin tersepit, antara kepatuhan dan tanggungjawab kepada kerajaan, ataupun memilih untuk mencari kegembiraan dengan cara sendiri.
Banyak perkara yang dipersoalkan sejak dahulu, dari keputusan-keputusan kurang matang kepada pengumuman-pengumuman penting yang sedikit mengelirukan.
Lihat sahaja bagaimana desakan bertali arus pelbagai pihak kepada cadangan pembukaan sekolah pada 1 September ini. Lihat juga bagaimana kelonggaran yang diberikan kepada pegembara yang baharu tiba di Malaysia. Semua keputusan dan cadangan itu tidak menghadirkan sebarang bentuk kegembiraan kepada rakyat.
Menambahkan kesedihan lagi apabila drama perebutan kuasa oleh mereka yang menggelarkan diri sebagai golongan elit dan penggubal dasar negara seperti tiada kesudahan.
Tanpa ada rasa bersalah, permainan strategik terus dicanang dan disajikan kepada rakyat. Mujurlah kita memiliki institusi raja yang sekurang-kurangnya dalam mengawal nafsu para politikus ini.
Sedarlah, kegembiraan bagi rakyat itu bukanlah kepada siapa yang dipilih dan siapa yang memerintah.
Kegembiraan bagi rakyat itu adalah dapat menikmati sebuah kebebasan, berjumpa insan tersayang dan keluar mencari rezeki dengan tenang demi keluarga di rumah.