PETALING JAYA – Peningkatan kes kematian melibatkan pesakit Covid-19 mendorong pasangan suami isteri di Subang Jaya di sini menguruskan jenazah secara sukarela sejak Februari lalu.
Naib Pengerusi Pertubuhan Setia Kasih, Irwan Muhamad Ishak berkata, beliau terpanggil melunaskan tuntutan fardu kifayah itu secara sepenuh masa apabila bengkel mengetuk dan mengecat kenderaan miliknya tidak dapat beroperasi.
“Secara purata pasukan kami menguruskan 12 hingga lebih 20 jenazah setiap hari. Saya sendiri bertugas sebagai pemandu. Dalam kebanyakan kes saya turut terlibat dalam kerja-kerja pengebumian jenazah dari awal hingga akhir.
“Saya biasanya keluar seawal pukul 8.30 pagi untuk penjadualan tugas dan balik ke rumah sekitar pukul 9 hingga 10 malam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata, isterinya, Norfadzilah Mustafa Kamal, 37, lazimnya menguruskan dokumen melibatkan Jabatan Forensik dan maklumat berkaitan selain membantu navigasi laluan ke sesuatu lokasi yang ingin dituju.
Irwan, 39, berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah beliau pernah menghantar jenazah ke Tangkak, Johor lengkap mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) tanpa boleh singgah ke mana-mana dengan perjalanan itu.
Pernah juga pasukannya menguruskan jenazah individu seberat kira-kira 200 kilogram dengan keadaan bertukar cemas apabila beg mayat terkoyak, namun pantas ditampal oleh pasukan Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam yang turut serta dalam operasi tersebut.
“Ada 12 jenazah yang kami uruskan pada hari tersebut dan itu merupakan jenazah terakhir. Masing-masing sudah kepenatan. Tetapi nawaitu (niat) untuk membantu menguatkan semangat kami,” ujarnya.
“Ia berlaku semasa proses menurunkan jenazah. Saya sendiri agak kelemasan kerana ruangan sempit tambahan pula semburan cecair pembasmi kuman dilakukan sepanjang masa sebagai langkah berjaga-jaga,” ujarnya.
Katanya, memakai PPE sambil bertugas dalam cuaca tidak menentu turut menjadi antara asam garam yang perlu dilalui petugas yang kadangkala terasa ingin pitam kerana si pemakai menghembus dan menyedut udara yang sama dalam jangka masa yang agak lama.
Dalam pada itu, Norfadzilah berkata, mereka turut pernah menerima permintaan waris yang mahu van jenazah berhenti seketika di hadapan rumah kerana kesemua ahli keluarga terpaksa menjalani kuarantin sama ada kerana dijangkiti Covid-19 atau menjadi kontak rapat.
“Mereka minta untuk lihat van jenazah dari tingkap rumah. Ada juga yang minta kami ambil video. Insya-Allah kami akan pertimbangkan dan keputusan dibuat mengikut kesesuaian kerana takut menimbulkan salah faham atau fitnah,” kongsinya. – K! ONLINE