PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita positif Covid-19 yang sedang menjalani kuarantin di rumah bersiar-siar berhampiran kawasan perumahannya mendapat kecaman orang ramai.
Melalui video yang dimuatnaik di TikTok milik wanita itu, dia mengaku menjadikan rutin harian keluar berjalan kaki berhampiran rumahnya dan menganggap pesakit Covid-19 tidak boleh berkurung sahaja serta perlu mendapatkan udara segar.
“Pesakit Covid-19 jangan berkurung je. Kalian perlu oksigen percuma dari Allah. Jiran-jiran jangan pulak takut, selagi tak menghampiri jiran-jiran bagi aku tak ada masalah. Sehari 15 minit pun okey dah,” katanya.
Apa yang membimbangkan pengguna media sosial ialah, tinjauan di ruang komen mendapati terdapat beberapa individu yang mengaku melakukan perkara sama sewaktu menjalani kuarantin di rumah setelah disahkan positif Covid-19.
“Betul tu. Sebab takut orang marah keluar, saya ambil udara naik motor tengah malam atau waktu subuh semasa positif Covid-19. Asalkan kita pakai mask (pelitup muka) tak pegang mana-mana benda,” kata seorang pengguna TikTok.
“Ya, sedut udara buka mask. Bila rasa nak batuk pakai mask dulu, lepastu buka balik sedut udara,” kata Akarasya.
Perkongsian itu mendapat kecaman orang ramai yang rata-ratanya mahu tindakan tegas diambil terhadap pemilik video tersebut.
“Dari dalam rumah tak dapat oksigen percuma ke? Boleh je buka tingkap, kenapa mesti keluar walaupun tak berjumpa orang lain? Harap pihak berkuasa dapat kesan dia ni dan ambil tindakan segera,” soal Amrie.
“Masa aku positif Covid-19, nak buka pintu rumah pun tak berani. Rasa serba salah walaupun nak buka pintu, ini pula nak keluar ambil angin macam ini,” kata Juu.
Difahamkan, wanita tersebut telah memadam video berkenaan dan bertindak menyahaktifkan akaun TikToknya sebaik sahaja menyedari tindakannya itu telah ditularkan dan mendapat kecaman dari orang ramai. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929