fbpx

Penyelia maut jatuh platform kilang sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyelia projek maut selepas terjatuh dari platform tingkat satu setinggi 2.5 meter, kelmarin.

KOTA TINGGI – Seorang penyelia projek maut selepas terjatuh dari platform tingkat satu setinggi 2.5 meter ketika sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan kerangka dandang stim tiub air di sebuah kilang sawit yang terletak di Bandar Tenggara di sini, kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Johor, Husdin Che Amat berkata, mangsa berusia 46 tahun bekerja di sebuah syarikat subkontraktor terlibat dengan insiden itu kira-kira pukul 1.30 petang.

Katanya, hasil siasatan awal yang dijalankan oleh jabatan mendapati tiada perlindungan jatuh disediakan di semua tangga dan juga sekeliling tepian terbuka yang membabitkan kerja-kerja di tempat tinggi.

“Terdapat tiga batang I-beam berada di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh. Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Kluang.

“Susulan daripada siasatan awal yang dijalankan, jabatan telah mengarahkan majikan supaya menghentikan kerja-kerja pemasangan dandang stim di lokasi dengan serta merta sehingga siasatan selesai.

“Notis larangan juga telah dikeluarkan kepada pihak kilang sawit dan syarikat kontraktor utama atas kegagalan untuk memastikan tempat kerja tersebut dalam keadaan selamat ketika menjalankan aktiviti pemasangan dandang stim sehingga menyebabkan kemalangan maut berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Husdin berkata, jabatan juga telah mengarahkan syarikat kontraktor utama untuk mengadakan Prosedur Kerja Selamat dan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) bagi kerja pemasangan dandang stim.

Jelasnya, JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI