RABU lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penggunaan Kadar Asas Standard (Standardised Base Rate, SBR) yang bakal menggantikan Kadar Asas (Base Rate, BR) berkuatkuasa 1 Ogos 2022 sebagai kadar rujukan bagi pinjaman runcit berkadar terapung seperti pinjaman perumahan dan peribadi.
Kadar rujukan digunakan oleh institusi kewangan sebagai asas dalam menentukan kadar faedah untuk pinjaman.
Menerusi Rangka Kerja Kadar Rujukan yang diperkenalkan pada tahun 2015, BR ditetapkan sebagai kadar rujukan untuk pinjaman runcit berkadar terapung di Malaysia, namun institusi kewangan yang berlainan menggunakan kaedah berbeza untuk menetapkan BR masing-masing.
Menerusi SBR, setiap bank selepas ini akan menggunakan kadar rujukan sama, yang mana penetapan SBR hanya berpandukan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang ditentukan Jawatankuasa Dasar Monetari BNM.
Komponen lain bagi menetapkan kadar faedah pinjaman seperti risiko kredit peminjam, premium risiko mudah tunai, kos operasi, margin keuntungan dan kos-kos lain akan terus dicerminkan dalam spread yang pada kebiasaannya akan melebihi SBR.
Bagaimanapun, apa yang diharapkan pengguna bukanlah sekadar pembiayaan yang bersifat lebih telus, malah mungkin pengurangan kos pinjaman dengan pelaksanaan SBR ini kelak.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, penggunaan SBR tidak akan menjanjikan kos pembiayaan yang lebih rendah kerana ia berlandaskan OPR yang kadangkala naik dan turun.
Namun apa yang pasti, kadar standard ini memberikan ketelusan dan integriti lebih tinggi dalam memohon pembiayaan bank serta memberi lebih maklumat kepada peminjam berhubung pembiayaan mereka.
“Mungkin ramai pengguna tak menyedari bahawa perbezaan BR antara bank-bank sekarang, meskipun dilihat kecil sebenarnya mampu memberikan kesan signifikan kepada keseluruhan kos pinjaman pengguna.
“Interpretasi berbeza-beza pengiraan BR oleh institusi kewangan memberi impak besar kepada kos pinjaman.
“Sebagai contoh, bagi perbezaan 0.1 mata peratusan dalam BR untuk pinjaman sebanyak RM100,000 selama sembilan tahun, ia boleh memberikan perbezaan sekitar RM9,000 hingga RM10,000,” katanya.
Baharom berkata, dengan penggunaan SBR, peminjam selepas ini hanya perlu maklum akan kadar spread mereka untuk mengetahui sebarang kenaikan atau penurunan bayaran ansuran bulanan disebabkan perubahan pada OPR.
“Buat masa ini, jika berlaku perubahan pada OPR, pelanggan perlu menunggu makluman daripada bank masing-masing untuk mengetahui sejauh mana perubahan pada kos pinjaman mereka kerana cara pengiraan BR ini tidak diketahui umum.
“Namun dengan pelaksanaan SBR, peminjam nanti boleh mengira sendiri naik turun bayaran bulanan mereka apabila OPR berubah, jadi pengguna akan lebih faham tentang bebanan hutang yang ditanggung dan sebarang pembayaran tambahan yang mungkin diperlukan,” katanya.
Menurut Baharom, BNM dan persatuan perbankan perlu memainkan peranan sebaik mungkin dalam menjelaskan perubahan ini kepada umum supaya orang ramai lebih jelas dengan status pinjaman mereka.