KLANG – Seorang lelaki nekad memecut kenderaan sejauh kira-kira 20 kilometer (km) bagi mengelak ditahan ketika dikejar polis dari daerah ini hingga Shah Alam, semalam.
Kejadian berlaku 6.40 petang ketika suspek berusia 47 tahun memandu kenderaan Suzuki Swift yang ketakutan membawa rakan wanitanya berusia 38 tahun yang tiada dokumen perjalanan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, anggota polis yang melakukan rondaan pada mulanya mengesan kenderaan Suzuki Swift dinaiki mereka di Jalan Beringin, Pelabuhan Klang.
Katanya, kenderaan peronda kemudiannya menahan dengan membunyikan hon dan memasang lampu biru.
“Namun, suspek bagaimanapun enggan berhenti dan terus memecut kenderaan memasuki kawasan sebuah taman perumahan sebelum memasuki Lebuh Raya Persekutuan.
“Anggota kita dengan bantuan beberapa unit kereta peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Klang Utara dan Shah Alam berjaya menahan suspek tersebut di Jalan Bayam Dua, Seksyen 24 kira-kira pukul 8.30 malam malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, siasatan mendapati lelaki berstatus penduduk tetap (PR) itu melarikan diri akibat takut ditahan kerana membawa wanita yang tiada dokumen perjalanan.
“Semakan mendapati suspek lelaki itu turut mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah, judi dan kecuaian. Suspek ditahan reman sehari,” ujarnya – K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929