fbpx

Mawar seperti dihidupkan kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAWAR RASHID

KEPUTUSAN berhijrah dan kembali kepada fitrah untuk mengenakan hijab sepenuh sejak setahun lalu membuatkan kembara hidup Mawar Rashid kini jauh lebih tenang dan bermakna.

SETIAP insan yang dilahirkan di muka bumi ini pasti tidak terlepas daripada melakukan sebarang khilaf sama ada secara sedar atau tidak.

Dalam melayari kembara kehidupan yang penuh mencabar, ada tikanya kita lalai, alpa dan semakin jauh dengan Maha Pencipta.

Benarlah kata orang, kehidupan yang fana dan hanya sementara ini hanya sebagai pentas untuk manusia mencorakkan karakter mengikut acuan watak masing-masing.

Hidup ini juga ibarat roda besar yang sedang berputar. Adakala kita berada di bawah dan adakalanya kita lama kekal di atas.

Begitu juga yang dilalui pelakon manis berdarah kacukan Melayu-Siam, Mawar Rashid yang turut ada pasang surut dalam kemudi kehidupan.

ISTIQAMAH untuk terus berada di jalan yang diredai Allah menjadikan Mawar lebih tenang dan memaknakan kehidupannya.

Mawar mengakui pernah tersasar jauh daripada pegangan ilmu agama dek kerana ketaksuban mengejar seronoknya kehidupan.

Apatah lagi bergelar anak seni sepertinya membuatkan dia sentiasa sibuk dengan jadual yang begitu padat dan jarang ada masa untuk ke arah agama.

“Kalau diikutkan dahulu memang saya memang jauh dari ilmu agama. Saya hanya fokus dan habiskan masa mencari duit semata-mata.

“Populariti yang semakin mencanak sebagai selebriti membuatkan saya hampir terlupa akan perihal akhirat dan hanya mementingkan duniawi semata-mata,” katanya ketika membuka bicara.

Jelas Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, daripada situ dia mula terdetik dalam diri sampai bila kehidupannya akan terus dihanyut begitu.

MAWAR bersyukur walaupun sedikit terjejas dari segi kewangan akibat pandemik, dia masih boleh bekerja dari rumah di samping mengasuh anak-anak. – Foto KOLEKSI PERIBADI MAWAR RASHID

Hijrah

Katanya, Maal Hijrah tahun lalu merupakan detik bersejarah dan titik permulaan buat dirinya beralih ke satu fasa kehidupan yang jauh lebih bermakna.

Menurut Mawar, hidupnya seakan-akan kosong menjentik sanubarinya untuk mencari reda Allah kehidupan yang lebih tenang.

“Jadi perkara pertama yang saya lakukan adalah dengan menutup aurat terlebih dahulu.

“Itu perkara asas yang perlu diambil, sekali gus nekad berubah ke arah kebaikan.

“Syukur alhamdulillah diam tak diam sudah setahun saya berhijab penuh. Daripada situ juga, saya mula menjaga ibadah wajib lain seperti solat dan lain-lain perkara.

“Jujur, hati saya mula rasa tenang selepas perlahan-lahan ‘berhijrah’ dan belajar ke arah kebaikan. Kadang-kadang rasa seperti dihidupkan kembali,” ujarnya.

Mawar yang juga isteri kepada pelakon Raf Yaakob turut memberitahu, fasanya hijrahnya mengambil sedikit masa dan perlunya istiqamah,

Akui Mawar, kemahuan untuk berubah dan berhijrah ke arah perkara yang baik dalam hidup tidak sesukar mana, namun mengekalkan istiqamah itulah ujian sebenar yang perlu dihadapi.

“Alhamdulillah saya dikurniakan seorang suami dan keluarga yang sangat menyokong apa sahaja yang dilakukan.

“Macam suami sendiri memang tak pernah paksa untuk saya berubah. Tetapi dia sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat untuk ke arah itu,” katanya.

DIUJI dugaan berat apabila seluruh ahli keluarga dijangkiti Covid-19, Mawar menerima dengan hati terbuka ujian yang diturunkan Allah.

Kerja amal, nazar

Bulan lalu, seluruh keluarga Mawar diuji apabila mereka disahkan positif virus Covid-19 dan perkara tersebut langsung tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

“Ketika saya dan suami disahkan positif Covid-19, kami menjalani kuarantin selama dua minggu.

“Ibu saya juga tidak terlepas daripada dijangkiti wabak sama. Saya dan suami bersyukur kerana anak-anak kami okey dan tidak mengalami gejala yang teruk,” katanya yang masih menganggap perkara tersebut seperti mimpi.

Berkongsi sedikit pengalaman dijangkiti wabak maut tersebut, Mawar mengakui adakalanya dia masih berasa cepat penat, namun bersyukur kerana deria bau sudah pulih sepenuhnya.

Ujian demi ujian yang diberikan membuatkan Mawar bernazar untuk memberikan sedikit sumbangan dan bantuan dalam apa cara sekali pun sebagai saham akhiratnya bergelar wanita Muslim.

“Alhamdulillah, beberapa sumbangan sudah saya lunaskan kepada Hospital Ampang dan Hospital Selayang baru-baru ini.

“Saya berharap agar sumbangan kecil itu dapat memudahkan urusan doktor dan para petugas barisan hadapan di kedua-dua hospital berkenaan dalam menunaikan tugas mereka sebagai wira negara,” katanya yang bertekad meneruskan misi bantuan tersebut secara berkala.

Meneruskan perkongsian, Mawar akur dia juga senasib seperti rakan seperjuangan lain, tidak dapat meneruskan aktiviti seni yang selama ini menjadi mata pencarian.

MAWAR akur dia juga senasib seperti rakan seperjuangan lain, tidak dapat meneruskan aktiviti seni yang selama ini menjadi mata pencarian.

Bagaimanapun, bekerja dari rumah menjadi antara alternatif yang ada memandangkan kerja-kerja penggambaran masih belum diberi lampu hijau.

“Buat masa ini saya memang menghabiskan masa di rumah sahaja. Saya ada buat penggambaran sendiri untuk beberapa kempen dan iklan. Daripada situlah saya jana pendapatan,” ujarnya.

Diaju mengenai perkembangan karier seni, Mawar memberitahu, dia bakal bekerjasama dengan beberapa nama besar dalam industri antaranya, Sheila Rusly dan Kabir Bhatia dalam naskhah terbaharunya kelak.

“Alhamdulillah, akhirnya, saya dapat juga peluang, rezeki dan kepercayaan untuk bekerja dengan kedua-dua pengarah dan penerbit yang saya idamkan.

“Kedua-dua mereka merupakan nama besar dalam industri hiburan negara dan sememangnya menjadi impian saya untuk bekerja dan menimba pengalaman bersama mereka,” katanya ketika menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI