PETALING JAYA – Seorang lelaki tular di laman sosial selepas mendedahkan tidak mahu mengambil vaksin kerana mahu merasai kesakitan dijangkiti wabak Covid-19 sendiri.
Menerusi video yang dikongsi lelaki tersebut di TikToknya, dia mendakwa dirinya bukanlah seorang anti vaksin seperti yang didakwa sesetengah pihak, tetapi dia mahu menggunakan rawatan alternatif sendiri sekiranya dijangkiti wabak tersebut.
“Saya nak buat pemerhatian kepada diri sendiri. Sekiranya saya terkena Covid-19, jadi saya boleh rasa macam mana sakit kena Covid.
“Dan saya boleh mengaplikasikan rawatan alternatif kepada diri saya sendiri. Sekiranya keluarga saya terkena Covid-19 walapun dah divaksin, saya nak tengok kebarangkalian jangkitan terhadap diri saya sekiranya tidak divaksin,” katanya.
Menurut lelaki tersebut, tindakannya itu adalah kerana dia melihat bahawa semakin ramai orang divaksin, semakin tinggi kes dan bilangan orang meninggal dunia akibat Covid-19.
Video tersebut mendapat perhatian orang ramai yang rata-ratanya marah dengan tindakan tidak bertanggungjawab lelaki berkenaan.
Di ruangan komen juga, lelaki itu tegas mengatakan pendapatnya bahawa 80 peratus pesakit Covid-19 di negara ini tidak bergejala atau hanya bergejala ringan sahaja.
“Bekas pesakit Covid-19 semua trauma dah tak nak kena lagi, dia boleh senang-senang nak rasa buat pemerhatian. Semoga Allah terangkan hati abang ni,” kata Jiifs.
“Kasihan anak-anak, ini mesti jarang keluar rumah sebab tu belum kena lagi. Cuba keluar, dedahkan diri mungkin jadi sukarelawan di hospital pun sudah cukup. Tengok jauh mana uji kaji, jangan cakap besar tunjuk hero,” kata Sufiayusop.
Sehingga kini, video tersebut telah ditonton lebih 235,000 dan tular di beberapa platform media sosial. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929