PETALING JAYA – Selepas mengesahkan dirinya positif Covid-19, pelakon Jue Aziz memohon diberikan ruang untuk berehat dan menjalani proses rawatan serta kuarantin seorang diri dengan tenang di rumah.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, pelakon yang pernah membintangi drama Manjalara itu memohon maaf kepada peminatnya dan sesiapa sahaja kerana tidak dapat membalas mesej dan menjawab panggilan telefon kerana mahu bersendirian dan berehat.
“Maaf. Buat masa ini saya tidak boleh membalas mesej atau menjawab telefon. Saya perlukan rehat. Sukar menjalani kuarantin seorang diri di rumah,” tulisnya.
Dalam pada itu, Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abdul Aziz, 38, turut berkesempatan mengucapkan terima kasih kepada peminat yang mendoakan kesihatan dirinya dan berharap agar segala kebaikan itu dibalas oleh Allah SWT.
“Terima kasih kepada yang mendoakan kesihatan saya. Hanya Allah SWT yang dapat membalas doa-doa kalian. Maafkan saya dan doakan supaya saya kuat,” ujarnya.
Terdahulu, Jue mengesahkan dijangkiti wabak maut itu pada 12 Ogos lalu menerusi sebuah hantaran video yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.
Ujarnya, dia mengalami simptom batuk, demam, sakit kepada, selesema dan hilang deria rasa. Paling menyakitkan apabila pelakon itu turut mengalami rasa menggigil sejuk sehingga ke tulang dan menyebabkan dia mengalami sakit urat.
Sebelum ini, beberapa selebriti tanah air antaranya Ashraf Muslim, Puteri Aishah, Alif Satar, Harris Anuar, Shima Anuar, Emma Maembong, Aepul Drama Band, Sweet Qismina, Aprena Manrose dan Man Kidal juga pernah disahkan positif Covid-19. -K! ONLINE