fbpx

Ismail Sabri zahirkan ucapan takziah buat waris perajurit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam insiden tembakan di Skuadron 330, Kota Samarahan, Kuching, Sarawak semalam.

Menerusi satu kenyataan, Ismail Sabri memaklumkan bahawa Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat terkesan serta berduka cita dengan insiden tersebut.

MAYAT salah seorang anggota TUDM yang terbunuh dalam kejadian tembakan dibawa ke Hospital Umum Sarawak, Kuching untuk proses bedah siasat semalam.

“Selaku Menteri Pertahanan, saya menzahirkan ucapan takziah kepada waris-waris semua perajurit negara terbabit iaitu Allahyarham Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat, Allahyarham Koperal Udara Sharif Mohd. Siddiq Al-Attas Wan Sabli, Mendiang Koperal Udara Ho Swee Boon dan Mendiang Laskar Udara Kanan (LUK) Nesly Anak Nabau.

“Saya doakan semoga seluruh keluarga mangsa terlibat tabah menghadapi situasi sukar ini dan pihak TUDM juga telah menguruskan semua urusan berkaitan pengkebumian jenazah termasuk urusan kebajikan waris perajurit terlibat,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelas beliau, ATM melalui Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM telah mengambil inisiatif menyantuni keluarga mangsa di Sarawak dan menyampaikan sumbangan kebajikan yang sewajarnya kepada kesemua waris mangsa yang terlibat.

“Saya sekali lagi menzahirkan ucapan takziah kepada waris perajurit TUDM dan berharap ahli keluarga masing-masing tabah menghadapi situasi ini. Ianya merupakan satu kehilangan besar kepada ATM dan TUDM khususnya.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa dan sumbangan perajurit-perajurit tersebut sepanjang dalam perkhidmatan,” ujarnya.

Ismail Sabri menambah, pihaknya berharap tiada sebarang spekulasi dan penyebaran berita tidak benar berhubung kejadian ini sehingga selesai siasatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjaga sensitiviti serta nama baik ahli keluarga perajurit yang terlibat.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI