SELEPAS mencuri tumpuan global menerusi single Without You, The Kid Laroi atau nama sebenarnya, Charlton Kenneth Jeffrey Howard kembali menggoncang dunia dengan sebuah lagi antem ‘musim panas’ berjudul Stay (featuring Justin Bieber).
Jika Without You berjaya meletakkan Laroi dalam senarai tangga 10 teratas Billboard Hot 100, Stay terus memuncakkan nama atau jenama muziknya di persada muzik antarabangsa apabila menduduki tangga pertama carta lagu tersebut minggu lalu.
Baru sahaja setahun jagung memegang gelaran sebagai penyanyi dan pemuzik, iaitu sekitar dua tahun, namun apa yang sedang dikecapi Laroi merupakan satu pencapaian luar biasa buat anak seni asal New South Wales, Australia itu.
Synth, energetik
Stay memiliki bukti konkrit hit dalam setiap dentingan melodi dan liriknya. Dari detik pertama sesiapa yang mendengar, mereka akan mudah dideraskan dengan bunyi instrumen synthesizer atau synth yang dipadankan dengan cukup cemerlang nuansa R&B dan eksplorasi nukilan lirik yang dihasilkan.
Dari segi sentuhan lirik, lagu berkenaan mengandung dua perspektif ‘terperangkap’ dengan perihal kasmaran iaitu seseorang yang setia menagih cinta, sementelah seorang lagi mengakui sudah banyak melakukan kesilapan dengan cinta hatinya, namun masih mahu setia dan memulihkan keadaan.
“I do the same thing I told you that I never would. I told you I’d change, even when I knew I never could. I know that I can’t find nobody else as good as you. I need you to stay, need you to stay, hey”, ungkap Laroi menerusi satu bahagian catchy dalam lagu tersebut.
Berdurasi hanya dua minit 21 saat, angka berkenaan sebenarnya agak pendek untuk satu rakaman atau penyampaian sesebuah lagu.
Bagaimanapun, karya berkenaan sangat menikan baik dari segi komposisi muzik dan lirik.
Sejujurnya, Stay merupakan lagu energetik yang penuh pengajaran untuk pendengarnya.
Menuju hujung atau pengakhiran lagu, terdapat breakdown atau pukulan ‘ringkas’ yang menambah elemen mengingatkan penulis kepada jenis muzik raja EDM global, Zedd, sekali gus memberi kontra yang tidak dijangka kepada keseluruhan mood lagu.
Buat penulis secara peribadi, lagu berkenaan diharapkan sedikit panjang durasinya agar Laroi dan Bieber dapat memberi lebih nilai eksplorasi dan menunjukkan kepada pendengar betapa kuasa ‘sonik’ Stay boleh pergi jauh.
Begitu pun, Stay telah terpahat sebagai satu lagi bop atau hit cemerlang antara daripada Laroi dan Justin. Kalau tidak, masakan berjaya menghuni tangga pertama carta lagu popular dunia, Billboard Hot 100 dengan selesa.
Stay memberi penekanan pentingnya kerjasama muzik untuk melahirkan sesebuah magis. Laroi pernah berkolaborasi dengan Justin menerusi Unstable. Itu sebenarnya satu hit, namun tidak ditolak dengan penuh kejituan sebagai single diskografi Bieber tersebut.
Apapun, Stay kini antara antem kegemaran, bukan hanya kepada penulis tetapi peminat Bieber dan yang baru mengenali siapa The Kid Laroi.