SEREMBAN – Satu audio tular kononnya lebih 40 mayat berbangsa India yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dituntut di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban adalah tidak benar.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J. Arul Kumar ketika menafikan perkara itu berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan setelah menerima aduan mengenai audio tersebut yang kini tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp.
“Kita telah pun siasat memang tidak timbul isu yang didakwa, ada pihak pihak cuba menularkan satu mesej bahawa terdapat lebih 40 mayat berbangsa India yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dituntut oleh keluarga mereka di Seremban.
“Dalam masa pandemik saya mohon jangan buat perkara yang menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat India di negeri ini dan jangan sebarkan audio sebegini yang tidak benar,” katanya ketika dihubungi Kosmo di sini hari ini.
Jelas Arul, beliau juga telah menghubungi Pengarah HTJ Seremban untuk mendapatkan penjelasan dan pihak hospital memaklumkan perkara tersebut tidak pernah berlaku.
“Semua mayat berbangsa India yang meninggal dunia di hospital akibat Covid-19 telah dituntut oleh keluarga masing-masing dan saya tidak pasti apa motif,” katanya.
Sementara itu, Pengarah HTJS, Dr Zaleha Mohd Nor mengesahkan isu lambakan mayat tidak dituntut akibat Covid-19 adalah palsu dan tidak berlaku sepertimana yang ditularkan melalui audio berbahasa Tamil.
Semalam, tular sebuah audio berbahasa Tamil mengatakan terdapat lebih 40 mayat berbangsa India yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dituntut dan berlambak di bilik mayat HTJS. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929