PETALING JAYA – Pelakon Yusuf Bahrin sebentar tadi mengesahkan dirinya kini positif wabak maut, Covid-19.
Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin, 29, menerusi hantaran dalam Instagramnya memberitahu, bukan hanya dia yang dijangkiti wabak tersebut tetapi dua adiknya turut menerima nasib sama.
“Covid-19 inside me and my brothers. (Covid-19 ada dalam diri saya dan adik-adik saya).
“Doakan saya dan adik-adik yang positif Covid-19 ya. Jaga diri semuanya,” tulisnya pada kapsyen foto yang memaparkan pergelangan tangan kanannya dipakaikan gelang berwarna merah jambu.
Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan selebriti mendoakan pelakon drama Sweet Dreams itu agar cepat sembuh dan menerima ujian tersebut dengan hati terbuka.
“Semoga cepat sembuh Yusuf. Moga awak diberikan kekuatan menjalani ujian Allah ini.
“Kami doakan semoga anda dan keluarga dipermudahkan segala urusan dan tabah menghadapi dugaan ini,” tulis netizen.
Sebelum ini, beberapa selebriti tanah air antaranya Ashraf Muslim, Puteri Aishah, Alif Satar, Harris Anuar, Shima Anuar, Emma Maembong, Aepul Drama Band, Sweet Qismina, Aprena Manrose, Man Kidal dan Jue Aziz turut disahkan positif Covid-19.
Semalam, negara mencatatkan jumlah kes baharu Covid-19 sebanyak 21,468 dengan kes kematian 277 orang.
Sementara hari ini, sebanyak 20,670 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh negara. – K! ONLINE